SYED Saddiq. FOTO Arkib NSTP
SYED Saddiq. FOTO Arkib NSTP
Hairulazim Mahmud


“SAYA membantah cadangan MTUC (Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia) untuk menaikkan umur persaraan dari 60 tahun ke 65 tahun,” tegas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau tidak bersetuju dengan cadangan itu sebaliknya mahu supaya anak muda diutamakan untuk bekerja, selain dinaikkan pangkat berdasarkan merit bukan semata-mata faktor usia.

Katanya, perbandingan kadar pengangguran dengan negara maju juga tidak tepat.

“Perbandingan dengan negara maju tidak tepat. Kadar pengangguran belia Jepun hanya 3.4 peratus, Singapura 5.9 peratus dan Jerman pula 6.2 peratus tapi di Malaysia ada lebih kurang 500,000 anak muda yang menganggur iaitu 10.7 peratus,” katanya pada hantaran video di laman Instagram, hari ini

Syed Saddiq berkata, beliau sudah menghubungi Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran dan dimaklumkan bahawa itu hanya cadangan daripada MTUC yang belum dimuktamadkan.

Semalam, MTUC menggesa kerajaan memperkenalkan pemberian elaun kos sara hidup (COLA) bulanan RM500 atau lebih kepada pekerja swasta menerusi Belanjawan 2020, selain meningkatkan had umur bersara mandatori kepada 65 tahun.

MTUC juga melihat had umur persaraan harus dinaikkan kerana gaji rendah itu menyebabkan pekerja tidak memiliki simpanan mencukupi untuk menampung usia persaraan panjang hingga bergantung kepada ahli keluarga, masyarakat dan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 10:47 PM