PEMBERIAN Cola adalah cara berkesan tangani masalah ketidakseimbangan dalam pengagihan pendapatan.
PEMBERIAN Cola adalah cara berkesan tangani masalah ketidakseimbangan dalam pengagihan pendapatan.
BERNAMA

KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memohon kerajaan memperkenalkan pemberian elaun bantuan sara hidup (Cola) minimum RM500 kepada pekerja dan meningkatkan had umur persaraan kepada 65 tahun.

Setiausaha Agung MTUC, J Soloman berharap cadangan itu dapat diperkenalkan menerusi Bajet 2020 yang akan dibentangkan Oktober ini untuk memberi perlindungan sewajarnya kepada pekerja dan meningkatkan tahap ekonomi rakyat yang terpinggir.

“Pemberian Cola kepada pekerja adalah selari dengan peningkatan kos sara hidup selain mengambil kira Garis Pendapatan Kemiskinan (PLI) negara,” katanya di sini, semalam.

Soloman berkata, pemberian Cola kepada semua pekerja kumpulan B40 dan M40 itu adalah cara berkesan untuk menangani masalah ketidakseimbangan dalam pengagihan pendapatan serta gaji minimum yang tidak memadai.

Mengenai had umur persaraan pula, Soloman berkata, ia perlu dinaikkan kepada mandatori 65 tahun bagi membolehkan pekerja mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menampung tempoh persaraan selain mengambil kira purata jangka hayat rakyat Malaysia pada masa hadapan yang dijangka menokok ke 80 tahun.

“Kenaikan had umur itu akan menambah simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) pekerja berpendapatan rendah sekali gus memastikan warga emas tidak terlalu bergantung kepada ahli keluarga, masyarakat mahupun kerajaan untuk menyara diri,” katanya.

Sehingga kini, had umur persaraan yang ditetapkan untuk pekerja swasta adalah sehingga 60 tahun.

Selain itu, antara cadangan lain yang dikemukakan MTUC adalah pengenalan hak asasi manusia dan hak pekerja dalam sukatan pelajaran sekolah menengah dan pendidikan tinggi, menambah akses kepada program latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) dan menambah kerjasama antara industri dan pembekal TVET sebagai saluran utama menambah kemahiran kumpulan sasaran.

Dua lagi cadangan adalah memastikan pekerja dibela dalam menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 dan menambah kemudahan pekerja dan peluang pekerjaan yang menawarkan upah lebih baik serta tempat kerja yang berkualiti serta berpersatuan untuk semua pekerja.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 5:10 AM