GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

MAYAT kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang lemas selepas bot galah dinaiki bersama ahli keluarganya terbalik di Jeti Pasir Jinggi, Kampung Pasir Jinggi, Kuala Krai Jumaat lalu ditemui 10.05 pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Che Razak Harun berkata, mayat Ismaniza Atira Ismail, 10, dijumpai orang awam di Sungai Kelantan di Temangan, Machang.

“Kami menggunakan khidmat unit anjing pengesan untuk mengesan mangsa pagi ini.

“Namun apabila memulakan operasi mencari dan menyelamat, kami menerima maklumat mayat mangsa ditemui orang awam di Temangan yang kemudiannya membawa mayat ke tebing,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Krai sebelum dituntut keluarga.

Ismaniza Atira yang tinggal di Taman Krai dikatakan mengikut bapa saudaranya pulang ke Kampung Jinggi bersama enam ahli keluarga lain pada Jumaat lalu dengan sebuah bot galah sebelum terbalik.

Susulan kejadian, semua terjatuh dan sempat menyelamatkan diri kecuali mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 2:27 PM