KEBAKARAN hutan paya gambut di Miri reda akibat hujan lebat, namun pemantauan kawasan terbakar masih dilakukan untuk memastikan kebakaran padam sepenuhnya. FOTO Kandau Sidi
KEBAKARAN hutan paya gambut di Miri reda akibat hujan lebat, namun pemantauan kawasan terbakar masih dilakukan untuk memastikan kebakaran padam sepenuhnya. FOTO Kandau Sidi
Kandau Sidi


JEREBU yang berlaku akibat kebakaran hutan paya gambut di Kuala Baram, utara Sarawak, lebih sebulan lalu berakhir dengan hujan lebat sejak awal pagi tadi.

Hujan lebat itu memadamkan kebakaran hutan paya gambut sepanjang Jalan Kuala Baram menuju ke Jambatan Asean, sekali gus menghilangkan kesan asap akibat kebakaran terbabit.

Walau pun kebakaran hutan itu sudah reda, namun anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Miri masih berada di lokasi kebakaran untuk memantau situasi berkenaan.

Tinjuan NSTP mendapati tiada asap kelihatan di kawasan yang hutan yang terbakar, sekali gus membuktikan api sudah padam sepenuhnya akibat hujan lebat.

Namun, jurucakap JBPM berkata, pemantauan berterusan perlu dilakukan untuk mengelakkan bencana alam semula jadi itu berulang lagi sehingga menyusahkan orang awam.

Beliau berkata, kebakaran hutan berkenaan masih boleh berlaku jika cuaca panas dan terdapat api di bawah tanah belum padam.

“Justeru kita memantau kebakaran hutan paya gambut di Miri secara serius dari masa ke semasa,” katanya ketika ditemui di Miri, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ahli Dewan Undangan Negeri Senadin, Datuk Lee Kim Shin berharap kebakaran hutan paya gambut di Miri tidak berulang kerana ia menjejaskan aktiviti harian penduduknya.

“Berhenti melakukan pembakaran yang boleh mengakibatkan kebakaran hutan ketika cuaca panas seperti sekarang,” katanya.

Lebih 1,000 hektar kawasan hutan paya gambut di Miri terbakar dan mengakibatkan jerebu sejak bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 12:06 PM