Mohd Rizal Abdullah


Miri: Kebakaran hutan paya gambut dan belukar sejak jam 4 petang tadi menyebabkan sebahagian besar kawasan di Senadin, Miri, terutama di Taman Promin diselubungi jerebu teruk.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri Law Poh Kiong berkata, kebakaran itu dipercayai berlaku akibat pembakaran terbuka.

Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng dikerah ke lokasi kejadian kira-kira jam 4.30 petang tadi.

"Kami dapat mengawal kebakaran kira-kira jam 6.30 petang, namun bomba masih memantau kawasan yang terjejas kerana bimbang api marak semula.

"Lokasi kebakaran berdekatan dengan kawasan perumahan penduduk, namun tiada kediaman penduduk yang terjejas. Luas kawasan hutan dan belukar yang terbakar masih belum dapat dipastikan," katanya

Menurutnya, kebakaran berkenaan dipercayai berpunca daripada kebakaran terbuka oleh individu tidak bertanggungjawab.

Di Kuala Baram, pasukan bomba turut bertungkus lumus memadam kebakaran hutan paya gambut dan belukar berdekatan Institut Latihan Perindustrian (ILP), Miri.

Ia dipercayai berpunca daripada kebakaran berulang di lokasi sama yang terbakar sejak Sabtu lalu, dipercayai berpunca akibat perbuatan khianat dan pembakaran terbuka.

Sementara itu, bacaan Indeks Pencemaran Udara(IPU) Miri dijangka meningkat berikutan kebakaran berlaku berhampiran sensor IPU.

Kebakaran seluas empat hektar berkenaan mengakibatkan asap tebal kira-kira 200 meter dari lokasi sensor IPU.

Bacaan IPU Miri setakat 11 malam tadi adalah 74 (sederhana).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 11:10 PM
Asap tebal akibat kebakaran hutan dan belukar di Taman Promin, Senadin, Miri. - Foto MOHD RIZAL ABDULLAH
Asap tebal akibat kebakaran hutan dan belukar di Taman Promin, Senadin, Miri. - Foto MOHD RIZAL ABDULLAH
Kawasan belukar yang masih terbakar dekat ILP Miri, Kuala Baram, malam ini. - Foto MOHD RIZAL ABDULLAH
Kawasan belukar yang masih terbakar dekat ILP Miri, Kuala Baram, malam ini. - Foto MOHD RIZAL ABDULLAH