Kandau Sidi


BELUM ada sebarang tangkapan dilakukan terhadap individu atau mereka yang disyaki terbabit melakukan pembakaran terbuka sehinga mengakibatkan jerebu serius di utara Sarawak.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, laporan berhubung kejadian itu sudah dibuat oleh beberapa penduduk Miri, namun polis belum ada sebarang tangkapan.

Beliau berkata, mereka yang terbabit dengan kes itu jika ditahan akan disiasat mengikut di Seksyen 435, Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

“Polis masih berusaha untuk mengesan mereka yang sengaja melakukan pembakaran terbuka sehingga menyebabkan jerebu serius di Miri.

“Sehingga hari ini kita belum membuat sebarang tangkapan terhadap mereka yang melakukan kesalahan itu,” katanya kepada NSTP di Miri, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, masalah jerebu yang berlaku di utara masih tidak berubah walau pun pelbagai usaha dilakukan untuk memadamkan kebakaran berkenaan.

Kawasan Senadin, Kuala Baram, Permyjaya masih berdepan masalah kebakaran hutan paya gambut yang serius.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong berkata, masih berlaku kebakaran hutan yang serius di sepanjang jalan Kuala Baram menuju ke Jambatan Asean.

Katanya, pasukan bomba dan penyelamat masih bertungkus lumus untuk memadamkan kebakaran hutan di kawasan Kuala Baram dan Jambatan Asean.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 1:34 PM
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memadam kebakaran belukar di Miri, 13 Ogos lalu. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memadam kebakaran belukar di Miri, 13 Ogos lalu. FOTO ihsan Bomba