Seikh Fakira (menutup muka) ketika di Mahkamah Majistret Klang selepas didakwa mencuri peket tembakau shisha dalam kontena pada Mei lalu. Foto Nur Lela Zulkipli
Seikh Fakira (menutup muka) ketika di Mahkamah Majistret Klang selepas didakwa mencuri peket tembakau shisha dalam kontena pada Mei lalu. Foto Nur Lela Zulkipli
Nur Lela Zulkipli


AHLI perniagaan bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kalang hari ini, atas pertuduhan mencuri peket tembakau shisha dalam kontena pada Mei lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Seikh Fakira Seikh Ahmad, 40, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, Seikh Fakira didakwa mencuri 1,451 peket tembakau shisha jenis Molasses yang tersimpan di dalam kontena kepunyaan Al Muhra Sdn Bhd bernilai RM323,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di belakang sebuah rumah di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang pada 27 Mei lalu antara 1 pagi hingga 4 pagi.

Tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan.

Difahamkan, tertuduh yang adalah adik kepada seorang ahli politik di daerah ini dan tembakau shisha itu adalah milik seorang kenamaan di Borneo.

Timbalan Pendakwa Raya Ermadieyani Ismadi menawarkan jaminan sebanyak RM25,000 bersama seorang penjamin dengan syarat jaminan tertuduh tidak boleh mengganggu atau mendekati enam saksi pendakwaan yang dikenali tertuduh.

Peguam Gerard Lazarus yang mewakili tertuduh pula memohon jaminan dikurangkan kepada RM3,000 kerana tertuduh menanggung seorang isteri dan tiga anak.

“Selain itu, anak guam saya turut menanggung bapa mentuanya yang memerlukan rawatan kerana diabetes yang kronik.

“Tertuduh juga tidak mempunyai akses kepada mana-mana pelabuhan (sehingga tembakau itu berjaya dibawa keluar),” katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan.

Harian Metro pada 9 Ogos lalu melaporkan polis berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri tembakau shisha dalam kontena yang diimport dari Jordan dalam dua serbuan berasingan sekitar Lembah Klang dan Melaka baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 3:43 PM