Nur Lela Zulkipli


PENSYARAH Universiti Teknologi Mara (UiTM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini atas pertuduhan salah guna kuasa mendapatkan suapan untuk kepentingan dirinya menerusi satu penganjuran acara motivasi, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Nor Mamat, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mohd Nor yang juga penceramah motivasi terkenal didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari Gred M54 untuk mendapatkan suapan bagi dirinya dengan mendaftarkan syarikat Ryan Services di dalam Borang Daftar Khidmat Runding menggunakan Integrated Consultancy System (ICONS).

Tindakan itu adalah bagi penganjuran program International Syariah Compliant Idea, Invention, Innovation & Design 2016 sedangkan penganjuran dilakukan oleh syarikat tertuduh iaitu IIII Education Servies pada 29 Jun 2016.

Kesalahan itu didakwa dibawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika didapati bersalah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Suffian Ja'afar memohon tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada pihak mahkamah.

Mohd Sabri kemudiannya membenarkan permohonan itu selepas pihak tertuduh yang diwakili peguam, Fahmi Abd Moin bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 26 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

Tertuduh kemudiannya membayar wang jaminan berkenaan dengan seorang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 11:09 AM
PENSYARAH Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat hadir di Kompleks Mahkamah Shah Alam . FOTO Sairien Nafis
PENSYARAH Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat hadir di Kompleks Mahkamah Shah Alam . FOTO Sairien Nafis