Shamsul Amar menunjukkan tembakau Molasses pelbagai saiz yang dicuri di Pelabuhan Klang. FOTO Norzamira Che Noh
Shamsul Amar menunjukkan tembakau Molasses pelbagai saiz yang dicuri di Pelabuhan Klang. FOTO Norzamira Che Noh
Nur Lela Zulkipli


DUA anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) antara 11 yang ditahan polis dipercayai terbabit dalam kes kehilangan 1,452 paket tembakau ‘Molasses’ dianggarkan bernilai RM323,000 di Pelabuhan Klang 17 Jun lalu.

Turut ditahan dalam Ops Sisha itu individu berpangkat Datuk yang mempunyai kaitan dengan seorang ahli politik tanah air.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, suspek berusia antara 20 hingga 55 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang dan Melaka dari 21 Jun hingga 7 Julai lalu.

“Bertindak atas maklumat, kita membuat beberapa siri serbuan dan tangkapan di sekitar Lembah Klang serta Melaka.

“Serbuan itu membawa kepada penangkapan sembilan lelaki tempatan, warga asing dari Yaman dan seorang wanita tempatan.

“Bagaimanapun, seorang lagi suspek utama yang masih bebas, Ku Marizan Ku Mansor, 43, atau dikenali sebagai ‘Mat Kedah’ sedang diburu bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan hari ini.

Menurut Shamsul Amar, sindiket berkenaan sudah beroperasi sejak setahun lalu dan kegiatan curi yang dilakukan adalah terancang.

“Berdasarkan siasatan, kita dapati salah seorang suspek berperanan sebagai ‘mastermind’ yang mengatur rancangan untuk mencuri daripada kontena manakala 11 lagi bertindak sebagai pencuri.

“Taktik yang digunakan suspek adalah membawa lari kontena berisi bahan berkenaan sebelum memulangkannya semula dalam keadaan kosong,” katanya.

Menurut Shamsul Amar, sindiket berkenaan turut disyaki terbabit dalam beberapa kes kecurian barangan kontena seperti minuman keras dan rokok sebelum ini.

“Anggota JKDM yang ditahan juga mengakui pernah menjalankan aktiviti sama sebelum ini dengan memudahkan proses keluar masuk kontena,” katanya.

Antara bahan yang dirampas adalah 51 paket 50 gram tembakau Molasses, 10 paket 250 gram dan 13 paket satu kilogram (kg) tembakau jenis sama pelbagai perisa berjenama Mayaza.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek yang masih bebas diminta menyalurkannya ke IPD Klang Selatan atau balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 3:37 PM