GAN hadir pada perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
GAN hadir pada perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Nur Lela Zulkipli


PEGAWAI kanan polis berpangkat Asisten Superintenden dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, atas empat tuduhan menerima suapan RM1.35 juta sebagai balasan menyelesaikan kes pengedaran dadah, kira-kira dua tahun lalu.

Tertuduh, Gan Chee Liang, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua tuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Gan didakwa secara rasuah menerima suapan daripada Lim Chok Siong, 41, untuk diri sendiri sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Penolong Penguasa Polis Diraja Malaysia berjumlah RM800,000 dan RM175,000, sebahagian daripada RM1.5 juta.

Suapan itu adalah sebagai dorongan untuk melakukan suatu perkara iaitu kononnya sebagai balasan menyelesaikan kes Victor Goh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di jalan ‘PJ ByPass’, Bangsar, pada 29 Mac 2017 dan di Jalan Bunga Mawar, Taman Muda, Ampang, Selangor, pada 30 Mac 2017.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, Gan didakwa atas tuduhan sama menerima daripada Yeong Kok Wah, 51, suatu suapan iaitu wang tunai RM300,000 dan RM75,000, sebahagian daripada jumlah RM375,000, yang dipersetujui sebagai upah menyelesaikan kes Victor Goh mengikut seksyen yang sama.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan di Jalan Changkat Thambi Dollah, Pudu pada 28 April dan 13 Jun 2017.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didakwa mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda yang boleh sampai lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM, Wan Ahmad Nidzam Wan Omar mencadangkan wang jaminan RM100,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin mengambil kira tertuduh berdepan dengan empat pertuduhan yang membabitkan jumlah jutaan ringgit.

Manakala peguam, Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan yang mewakili Gan memohon jumlah jaminan rendah dengan alasan anak guamnya tidak sempat mencari penjamin yang mampu membayar jaminan yang tinggi.

“Penjamin adalah adik perempuan tertuduh, seorang guru tadika dan abang tertuduh, penyelia tapak pembinaan.

“Tertuduh hanya dimaklumkan semalam akan dituduh di mahkamah hari ini, tidak sempat mencari penjamin yang mampu membayar jaminan tinggi. Tertuduh hanya mampu menyediakan wang RM10,000,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Gan diikat jamin RM80,000 dengan dua penjamin bagi keempat-empat pertuduhan serta dua syarat tambahan iaitu Gan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM berdekatan pada minggu pertama setiap bulan sehingga kesnya selesai.

Mahkamah menetapkan 29 April untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 3:52 PM