FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Nur Lela Zulkipli


BEKAS pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) Prof Dr N Sundra Rajoo didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini, atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah berjumlah lebih RM1 juta.

Sundra Rajoo, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Sundra Rajoo didakwa sebagai Pengarah AIAC yang diamanahkan dengan penguasaan dana syarikat itu, melakukan pecah amanah berjumlah keseluruhan RM1,011,367.50.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat AIAC, Bangunan Sulaiman, Jalan Sultan Hishamuddin, Kuala Lumpur antara 8 Disember 2016 dan 17 Ogos 2018.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar, menawarkan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin selain perlu syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam Datuk Baljit Singh Sidhu, memohon dibenarkan ikat jamin RM50,000 dengan alasan sudah memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan dan hadir setiap kali dipanggil dengan notis munasabah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Tarikh bagi sebutan semula ditetapkan pada 3 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 11:26 AM