Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mensasarkan kira-kira 30 peratus penagih dadah mendapatkan rawatan secara sukarela tahun depan.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, ketika ini hanya 19 peratus penagih dadah menerima rawatan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) secara sukarela.

"AADK menyemak semula pendekatan rawatan dan pemulihan secara sukarela sedia ada dan mengambil inisiatif untuk penambahbaikan bagi memastikan keberkesanan melalui penghasilan modul baru.

"Bukan hanya modul baharu sahaja diwujudkan, tetapi infrastruktur juga turut diberikan nilai tambah supaya lebih kondusif dan bersifat terbuka," katanya pada sidang media selepas melancarkan Modul Anjakan Kepulihan: Pendekatan Sukarela di Puspen Sungai Besi, di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, pihaknya juga akan menambah baik sudut perundangan di mana cadangan pindaan terhadap Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dipinda.

"Ianya akan membolehkan individu yang menjalani rawatan pemulihan secara sukarela di pusat pemulihan memiliki tempoh yang fleksibel dan tidak dikenakan pengawasan selepas tamat menjalani rawatan dan pemulihan.

"Setakat ini, AADK mempunyai 11 pusat pemulihan yang menyediakan perkhidmatan untuk kes sukarela," katanya.

DATUK Seri Zulkifli Abdullah (kanan) melancarkan modul anjakan kepulihan pendekatan sukarela di PUSPEN Sg Besi. FOTO Rohanis Shukri
DATUK Seri Zulkifli Abdullah (kanan) melancarkan modul anjakan kepulihan pendekatan sukarela di PUSPEN Sg Besi. FOTO Rohanis Shukri

Menurutnya, objektif penambahbaikan modul baharu adalah untuk membantu pegawai melaksanakan program rawatan dan pemulihan secara menyeluruh.

"Selain itu ia juga dapat membantu pegawai mentadbir alat ujian dan membuat interpretasi keputusan ujian dengan efektif.

"Penyediaan program rawatan juga lebih berstruktur, efektif dan sistematik mengikut keperluan semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 3:31 PM