ZULKIFLI
ZULKIFLI
Teoh Pei Ying

Kajang: “Saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana memilih saya mengetuai agensi yang ditugaskan membasmi dadah, musuh nombor satu negara,” kata Datuk Seri Zulkifli Abdullah yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang baru.

Sambil menyifatkan pelantikan itu sebagai satu penghormatan, beliau berkata, ia dilakukan kerana kerajaan percaya dia boleh memberikan sumbangan kepada agensi berkenaan.

Zulkifli dilantik ke jawatan itu susulan persaraan Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin.

Bekas Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) itu berkata,
pelantikan beliau itu per-
kara biasa.

“Pertukaran saya ini bukanlah perkara asing, sebelum ini ada tiga lagi Pengarah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilantik memegang jawatan ini. Ingin saya tegaskan, saya gembira berada di sini,” katanya selepas majlis serah terima tugas di ibu pejabat AADK, di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye dan Timbalan Pengarah (Risikan dan Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang

Mengulas mengenai sasarannya selepas mengambil alih jawatan berkenaan, Zulkifli berkata, dia memberi fokus kepada pelaksanaan polisi sedia ada.

“Saya di sini bukan untuk melakukan perubahan total, asasnya sudah ada, saya akan fokus kepada pelaksanaan polisi.

“Saya akan melawat semua negeri untuk mendapatkan maklumat mengenai masalah dan cabaran yang dihadapi kakitangan AADK,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli mendedahkan dari Januari sehingga Mei lalu, AADK merekodkan 6,435 kes baru dan mengesan 2,656 penagih berulang.

Beliau berkata, kerajaan memerlukan RM32,000 bagi menampung kos untuk proses pemulihan seorang penagih dadah dalam tempoh dua tahun.

“Jumlah ini besar, langkah pencegahan adalah lebih baik daripada mengubat, kita perlu laksanakan pencegahan sebelum ia menjadi lebih teruk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 11:02 AM