Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Beri dadah secara percuma untuk menjadikan pelajar penagih dadah baharu, demi mendapatkan keuntungan lumayan hasil jualan bahan terlarang itu.

Itu modus operandi dikesan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dilakukan segelintir individu atau kumpulan pengedaran dadah untuk merekrut penagih baharu.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, ia dikesan ketika pihaknya melakukan ujian air kencing di sekolah dan mendapati ada dalam kalangan pelajar yang positif.

"Dari situ kita kesan ada yang beri mereka (dadah) secara percuma dan dipercayai untuk merekrut golongan pelajar ini.

"Pada peringkat permulaan mereka ini diberikan (dadah) secara percuma, mula-mula mereka menyalahguna, lama kelamaan mereka akan ketagih dan menjadi penagih dadah baharu.

"Ini yang kita nak halang, usaha kita tertumpu kepada golongan remaja dan belia... Kita akan guna pelbagai kaedah termasuk bekas pelatih (untuk membantu)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Pelancaran Modul Anjakan Kepulihan: Pendekatan Sukarela AADK di PUSPEN Sukarela Sungai Besi di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, AADK akan terus memperkukuhkan program pencegahan kerana usaha itu lebih berkesan daripada merawat.

DATUK Seri Zulkifli Abdullah (kanan) melancarkan modul anjakan kepulihan pendekatan sukarela di PUSPEN Sg Besi. Turut sama Siti Mariam Mursidan. FOTO Rohanis Shukri
DATUK Seri Zulkifli Abdullah (kanan) melancarkan modul anjakan kepulihan pendekatan sukarela di PUSPEN Sg Besi. Turut sama Siti Mariam Mursidan. FOTO Rohanis Shukri

Laporan muka depan Harian Metro semalam melaporkan tokan dadah mengumpan pelajar dengan dadah percuma serta imbuhan jika berjaya mencari penagih baharu.

Modus operandi itu digunakan tokan kecil-kecilan untuk meluaskan pasaran mereka.

Perkara itu terbongkar hasil temu bual dengan 124 daripada 177 pelajar yang didapati positif dadah menerusi ujian air kencing oleh AADK Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 2:44 PM