Saifullah berucap di hadapan Sogo. FOTO Mohamad Shahril Badri
Saifullah berucap di hadapan Sogo. FOTO Mohamad Shahril Badri
Khairul Najib Asarulah Khan


SERAMAI 500 mahasiswa daripada universiti awam (UA) mengadakan Himpunan Bangkit Pertahankan Jawi Haramkan Dong Zong anjuran Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) di hadapan kompleks beli-belah Sogo, di Kuala Lumpur, hari ini.

Presiden GAMIS Saifullah Baiduri berkata, perhimpunan itu dianjurkan pihaknya bagi mengesa Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) supaya tidak membangkitkan isu berkaitan tulisan Jawi.

Menurutnya, tindakan Dong Zong yang campur tangan mengenai tulisan jawi menggugat perpaduan kaum selain menyemarak sikap anti-nasional.

“Kita sememangnya sayang dengan masyarakat berbangsa lain seperti Cina dan India namun kenyataan persatuan itu yang tidak mahu memartabatkan tulisan jawi amat menguris hati banyak pihak terutamanya orang Melayu.

“Dong Zong jelas kelihatan seperti cacing kepanasan yang tidak senang duduk sebaik sahaja Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mencadangkan tulisan Jawi diperkenalkan dalam kurikulum sekolah pada peringkat awal.

“Tindakan mereka jelas bertentangan dan menyalahi Akta Pendidikan 1996 serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963,” katanya ketika berucap di perhimpunan berkenaan.

Saifullah berkata, pembelajaran jawi di semua sekolah termasuk sekolah vernakular bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Kita menggesa Dong Zong supaya tidak terus melakukan atau mengeluarkan kenyataan berbaur rasis.

“Jika mereka masih campur tangan, satu himpunan mega rakyat akan diadakan untuk mendesak supaya Dong Zong diharamkan.

“GAMIS tidak teragak-agak untuk menghantar memorandum mahasiswa kepada Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam mempertahankan kedaulatan tulisan jawi dan mengatasi mereka yang cuba merosakkan warisan negara,” katanya.

Terdahulu, kumpulan mahasiswa itu berkumpul di Masjid Negara sekitar jam 2 petang sebelum berarak ke kompleks beli-belah berkenaan dengan memegang sepanduk pertahankan tulisan Jawi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 6:12 PM