FOTO hiasan
FOTO hiasan
Hairulazim Mahmud


PERTUBUHAN Cina Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) menolak seni khat diajar secara wajib dengan motivasi dakwah kerana kaedah itu tidak menepati prinsip al-Quran.

Menurut Dong Jiao Zong, pengajaran seni itu turut ditolak berikutan kegagalan pegawai Kementerian Pendidikan mendengar pandangan masyarakat bukan Melayu.

“Pendirian kami selama ini adalah untuk membangunkan pendidikan bahasa ibunda dan menggalakkan kepelbagaian budaya antara kaum di negara kita.

“Apakah rasionalnya untuk mengajar seni khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, sehingga murid bukan muslim yang belum kenal tulisan Jawi pun perlu belajar seni kaligrafinya?” kata pertubuhan itu dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Dong Jiao Zong kesal dengan tuduhan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Dong Zong adalah pertubuhan rasis yang menolak segala usaha kerajaan berkaitan pendidikan negara.

Sebaliknya mereka menegaskan sedar realiti kepelbagaian kaum di negara ini, sekali gus menggalakkan persefahaman, penghormatan dan keterangkuman terhadap perbezaan budaya dan menolak sebarang tindakan yang merendahkan kaum lain.

“Dong Jiao Zong menyeru Tun Dr Mahathir mendengar pandangan semua pihak dalam polemik seni khat dan tidak menafikan pandangan bukan Muslim.

“Kerajaan Pakatan Harapan harus memastikan bahawa keputusan penting yang membabitkan kaum, bahasa, agama dan budaya dibuat hanya selepas libat urus merangkumi semua pemegang taruh.” katanya.

Menurut pertubuhan Cina itu lagi, mereka sedia menjelaskan pendirian berkaitan isu itu kepada Perdana Menteri.

“Kami menyeru Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengambil langkah untuk membentuk badan perundingan merangkumi semua komuniti bahasa dan agama dalam kementeriannya agar kontroversi seperti isu seni khat yang dapat dielakkan pada awalnya tidak berulang,” katanya.

Semalam, Dr Mahthir menyelar sikap rasis Dong Zong kerana tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara termasuk dalam isu pembinaan Sekolah Wawasan sebelum ini.

Beliau berkata, sikap pertubuhan itu dapat dilihat apabila terus membantah pembelajaran khat di sekolah vernakukar, sedangkan keputusan itu dibuat pada 2012 oleh kerajaan terdahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 7:30 PM