Hadzlihady Hassan


WANITA yang dipercayai terjun di Kilometer 6.8 Jambatan Pulau Pinang, Georgetown semalam, ditemui terapung oleh nelayan di Straits Quay, 10 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, wanita berusia 36 tahun itu tidak pandai berenang, namun mengetahui teknik mengapungkan badan dan terapung selama lima jam sebelum diselamatkan dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

Menurut Che Zaimani, suami wanita itu mendakwa isterinya sedang mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Bukit Mertajam kerana tertekan selepas ibunya meninggal dunia 17 hari lalu.

“Kita juga mengambil keterangan daripada wanita itu dan dia mendakwa yang kenderaan dipandu pada mulanya rosak menyebakan dia berhenti di tepi jambatan.

“Wanita berkenaan juga memberitahu dia tidak sedar bila terjatuh ke dalam laut namun mendakwa mengetahui teknik mengapungkan badan menyebabkannya tidak tenggelam,” katanya.

Menurutnya, wanita itu hanya mengalami kecederaan di tangan akibat disengat obor-obor dan dia kini masih berada di hospital untuk menerima rawatan.

Sebelum itu, pada 5 petang, wanita terbabit dilihat orang awam meninggalkan kenderaan miliknya di tepi jambatan dan terjun ke dalam laut.

Orang awam menghubungi pasukan bomba dan penyelamat yang kemudian tiba di lokasi kejadian tidak lama selepas itu.

Operasi mencari dan menyelamat dilakukan pasukan bomba serta polis marin sebelum ia dihentikan kerana faktor cuaca namun wanita terbabit ditemui selamat oleh nelayan lima jam selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 2:32 PM