Siti Nor Hidayatidayu Razali


SEMATA-mata mahu bergurau dengan rakan, remaja lelaki membuat laporan palsu mendakwa dia cuba diculik seorang lelaki bertopeng yang keluar dari van putih bercermin gelap di Kubang Kerian, Kota Bharu, malam tadi.

Remaja berusia 13 tahun itu mendakwa kejadian berlaku 7.30 malam ketika dia menunggang basikal dari rumah rakan untuk pulang ke rumahnya di lokasi berdekatan sebelum baju ditarik lelaki tidak dikenali.

Namun, lelaki itu didakwa gagal sebelum remaja itu membuat laporan polis kononnya cuba diculik.

Kejadian itu tular di Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak malam tadi yang membuatkan ibu bapa dan masyarakat risau dengan keselamatan anak-anak mereka.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, polis menerima laporan yang dibuat remaja itu yang mendakwa dirinya diculik.

Katanya, siasatan dijalankan mendapati tidak wujud dan tidak berlaku kejadian seperti mana yang ditularkan itu.

“Pelajar berkenaan sudah diambil keterangan dan memberitahu bahawa dia hanya bergurau dengan rakan sekolah tanpa menyedari bahawa gurauan itu ditularkan.

“Ia digambarkan seolah-olah kejadian (cubaan culik) benar-benar berlaku,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, laporan palsu yang dibuat boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Menurutnya, individu yang menyebar berita palsu sehingga meresahkan masyarakat juga boleh didakwa mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada bergantung kepada bentuk penyebaran.

“Kita menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat laporan polis sewenang-wenangnya kerana jika laporan itu palsu, ia adalah satu kesalahan undang-undang, selain menyusahkan polis dengan perkara yang tidak benar.

“Masyarakat perlu mendapatkan kepastian dulu daripada polis mengenai sesuatu kejadian sebelum ditularkan kerana ia adalah satu kesalahan serta merisaukan orang ramai dengan perkara yang tidak berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 11:38 AM