SUHAILY (tengah) menyampaikan sijil penghargaan dan kuih kepada anggota bomba. FOTO Ahmad Ismail
SUHAILY (tengah) menyampaikan sijil penghargaan dan kuih kepada anggota bomba. FOTO Ahmad Ismail
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


“TINGGI nilainya erti pengorbanan ‘Wira Merah’ (anggota bomba) dibandingkan kuih donut dan sehelai kertas penghargaan mampu kami berikan,” ujar Suhaily Saruldin, 42, ibu kepada seorang daripada lapan pelajar yang lemas di Sungai Buloh Kasap, Segamat lima tahun, lalu.

Dalam kejadian menggemparkan negara pada 21 Februari 2014, lapan pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buloh Kasap lemas seorang demi seorang ketika cuba menyelamatkan satu sama lain ketika tergelincir ke dalam air ketika beriadah.

Mangsa berusia antara 13 sehingga 16 tahun itu Mohd Izuan Hakimi Amin, Mohd Zikri Zaidi, Mohd Nazreen Zainal, Nazrol Aminuddin Zamri, Mohd Zaki Zaidi, Mohd Shafiq Shukor, Mohd Hafizul Daniel Norhashim dan Mohd Hafizuddin Kamal.

Katanya, anak bongsu lelakinya, Nazrul Aminuddin Zamri, 15, antara mangsa ketiga ditemui pasukan bomba dan penyelamat jam 4 petang hari pertama kejadian.

“Memang sedih ketika itu, namun saya berterima kasih atas usaha gigih bomba dan penyelamat mencari tubuh anak saya yang lemas ketika itu,” ujarnya ketika menyerahkan sijil penghargaan kepada anggota bomba di Pejabat Jabatan Bomba Penyelamat di Jalan Abdullah di sini, semalam.

Turut hadir Penolong Penguasa Bomba, Muhd Hazim Abd Razak dan Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Segamat, Mazuki Ismail serta 20 anggota bomba.

Menurutnya, ahli keluarga mangsa sudah lama merancang untuk memberikan penghargaan atas jasa dan pengorbanan anggota bomba yang terbabit dalam insiden itu.

“Kebetulan 20 Julai lalu hari Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2019. Walaupun terlewat beberapa hari namun saya bersyukur dapat menyerahkan siji penghargaan ditandatangani semua ibu mangsa pelajar terbabit.

“Mungkin ada di antara anggota bomba terbabit sudah bertukar tugas di luar Segamat atau bersara namun jasa mereka tetap dikenang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 6:00 AM