Mayat penunggang motosikal selepas dihanyutkan arus deras ke dalam sungai berhampiran di Kampung Serakik di Buloh Kasap. FOTO ihsan JBPM
Mayat penunggang motosikal selepas dihanyutkan arus deras ke dalam sungai berhampiran di Kampung Serakik di Buloh Kasap. FOTO ihsan JBPM
Ahmad Ismail


Segamat: Seorang lelaki ditemukan lemas selepas motosikal ditungganginya dihanyutkan arus deras di Serakik, Buloh Kasap, di sini, hari ini.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Segamat, Penolong Penguasa Bomba Muhd Hazim Abdul Razak berkata, penunggang motosikal yang juga pekebun durian itu dikenali sebagai Gan Ai Boon, 63.

Katanya, pihaknya menerima panggilan memaklumkan mangsa tidak pulang ke kediamannya sejak semalam oleh polis di Balai Polis Buloh Kasap kira-kira jam 4.49 petang tadi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang menaiki motosikal menghala ke kebun duriannya cuba menyeberangi arus air deras di atas jalan.

"Disebabkan arus terlalu deras, mangsa tidak dapat mengawal keadaan sebelum motosikalnya dihanyutkan ke dalam sungai berhampiran," katanya di sini, hari ini.

Muhd Hazim berkata, mayat mangsa ditemukan kira-kira jam 5.15 petang tadi pada jarak 50 meter daripada lokasi mangsa dipercayai dihanyutkan arus air.

"Ini adalah korban pertama membabitkan mangsa lemas sejak daerah Segamat dilanda bah. Mayat mangsa ditemukan berpakaian baju-T hijau serta berseluar panjang berwarna gelap namun motosikal ditungganginya belum lagi ditemui.

"Operasi ditamatkan kira-kira jam 5.50 petang dan mayat mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Segamat untuk di bawa ke Unit Forensik, Hospital Daerah Segamat (HDS)," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Bahrin Mohd Noh ketika dihubungi, mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) selain menasihati orang awam supaya lebih peka dan tidak mengambil risiko meredah arus deras air bah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 10:02 PM