Antara motosikal yang dirampas polis dalam operasi semalam. FOTO Ihsan PDRM
Antara motosikal yang dirampas polis dalam operasi semalam. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


TINDAKAN 12 lelaki menunggang motosikal secara berbahaya mengundang padah apabila ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Butterworth semalam.

Pegawai Turus Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Asisten Superintendan Norlatifah Samsudin berkata, risikan dilakukan di lokasi berkenaan pada 7 malam.

“Hasil risikan terdapat sekumpulan penunggang motosikal dilihat menunggang secara melulu dan melakukan aksi berbahaya.

“Antara aksi yang dilakukan seperti menundukkan badan, memotong kenderaan awam secara zig-zag serta menduga kelajuan antara satu sama lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Norlatifah berkata, hasil pemerhatian dan pengecaman, 12 lelaki berusia antara 16 hingga 26 tahun ditahan.

“Kami turut merampas 12 motosikal ditunggang mereka membabitkan tiga motosikal model Kawasaki RR; Yamaha RXZ (2); Yamaha Y15ZR (3); Yamaha 125Z (1); Yamaha LC135 (2) dan Suzuki Belang 150 (1).

“Ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap semua suspek didapati negatif dadah,” katanya.

Katanya, semua suspek dan motosikal yang dirampas dibawa ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Prai Utara untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal secara berbahaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 7:04 PM