SEBAHAGIAN mat rempit ditahan selepas menunjukkan aksi berbahaya di BORR, Butterworth. FOTO ihsan polis.
SEBAHAGIAN mat rempit ditahan selepas menunjukkan aksi berbahaya di BORR, Butterworth. FOTO ihsan polis.
Hadzlihady Hassan


AKSI ala Superman, ‘wheelie’ serta menunggang laju sambil mencelah antara kenderaan lain.

Itu antara lagak ngeri dan berbahaya ditunjukkan sekumpulan mat rempit tanpa mempedulikan keselamatan sendiri dan nyawa orang lain.

Mereka terdiri daripada 43 penunggang dan pembonceng motosikal menjadikan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Butterworth sebagai lokasi mempamerkan kehebatan dan keberanian masing-masing.

Bagaimanapun, perbuatan mereka itu dikesan dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan dijalankan Polis Trafik Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Ketua Polis Daerah SPU Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, operasi berkenaan dilakukan jam 11 malam kelmarin.

Beliau berkata, antara ditahan termasuk empat pelajar sekolah menengah dan semua mereka direman selama empat hari.

“Kami sentiasa memantau aktiviti golongan ini yang dilihat menjadikan kawasan terbabit untuk berlumba terutama ketika malam minggu.

“Perbuatan samseng jalanan ini bukan saja menimbulkan masalah kepada mereka sendiri, malah turut mengancam nyawa pengguna jalan raya lain,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis akan meneruskan operasi seumpama itu bagi mengekang aktiviti lumba haram berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 9:18 PM