Anggota bomba berusaha membawa turun mangsa dari Bukit Marak. FOTO Ihsan JBPM
Anggota bomba berusaha membawa turun mangsa dari Bukit Marak. FOTO Ihsan JBPM
Nor Amalina Alias


DUA pendaki wanita yang mengalami kecederaan dan pitam di puncak Bukit Marak, Kota Bharu dibawa turun oleh sepasukan bomba dan penyelamat hari ini.

Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada 11.48 pagi daripada rakan mangsa yang memaklumkan dua rakan wanitanya berusia 30-an dan 49 tahun cedera serta pitam.

Sebelum itu mangsa bersama sekumpulan 20 pendaki naik ke bukit berkenaan untuk beriadah.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Mohd Zawawi Yusoff berkata, mereka yang juga guru mengalami kecederaan dan pitam sebaik sampai di puncak bukit.

Katanya, sebaik menerima panggilan, seramai sembilan anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi yang terletak pada ketinggian 114 meter.

“Sebaik sampai, kita terus melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dengan menggunakan teknik usungan.

“Kita menggunakan dua pengusung (stretcher) untuk membawa dua wanita itu turun bermula 12.20 tengah hari.

“Operasi itu berjalan selama sejam dan dua mangsa berjaya dibawa turun ke bawah bukit sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 8:37 PM