Anggota bomba membawa turun mangsa. FOTO ihsan bomba
Anggota bomba membawa turun mangsa. FOTO ihsan bomba
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Pilah: Seorang wanita yang mengikuti program pendakian di Gunung Angsi, di sini, terpaksa dibawa turun oleh pasukan bomba selepas mengalami kekejangan dan pitam, tengah hari tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah Ahmad Mohd Akhir berkata, mangsa berusia 22 tahun bersama 34 pendaki menyertai program anjuran sebuah kelab memulakan pendakian kira-kira jam 8 pagi.

Menurutnya, mangsa mengalami kekejangan kaki dan pitam ketika mendaki puncak gunung sebelum ahli kumpulan menghubungi bomba untuk meminta bantuan, jam 1.45 tengah hari.

"Beberapa pendaki membantu memapah mangsa secara bergilir-gilir sementara menunggu bomba tiba. Anggota yang menjalankan operasi itu menemui kumpulan terbabit di check point 2.

"Bomba memberikan rawatan awal dan membawa mangsa turun ke kaki gunung menggunakan pengusung. Operasi mengambil masa kira-kira 45 minit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini, untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2017 @ 6:41 PM