Zuraida  melihat hasil jahitan manik peserta selepas Program Sua Kasih Dar Assaadah MAIWP,  semalam.
Zuraida melihat hasil jahitan manik peserta selepas Program Sua Kasih Dar Assaadah MAIWP, semalam.
Mohd Hilmie Hussin


GOLONGAN wanita teraniaya atau berdepan masalah hamil anak luar nikah dan terjebak gejala sosial diminta tampil ke Kompleks Dar Assaadah di sini, bagi memastikan nasib mereka terbela.

Pengetuanya, Rafidah Mohd Noor berkata, Dar Assaadah menjadi institusi didikan agama dan bimbingan rohani bagi membentuk sahsiah mulia serta mengubah nasib pelatihnya.

Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada 26 Januari 1988, Dar Assaadah mengalu-alukan kemasukan wanita bermasalah sebagai pelatih secara sukarela.

“Kita terima wanita Islam, warganegara Malaysia yang berdepan masalah sosial berusia 18 hingga 35 tahun dan bebas daripada penyakit HIV, Tibi, gangguan mental serta penyakit bahaya lain.

“Ketika ini, 99 peratus daripada 23 pelatih terdiri daripada mereka yang hamil luar nikah dan sebahagian lagi mengalami masalah sosial,” kata Rafidah di Dar Assaadah, Jalan Ipoh di sini, semalam.

Beliau ditemui selepas Program Sua Kasih Dar Assaadah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bersama Datin Seri Zuraida Husin yang juga isteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Turut hadir, isteri Pengerusi MAIWP, Datin Seri Sharifah Suraiya Syed Yusoff, Pengerusi Puspanita Cawangan Kecil MAIWP, Datin Ruslina Yusuf dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (pengurusan) MAIWP, Zahed Saidin.

Pada program itu, MAIWP menerusi Puspanita menganjurkan pertandingan gubahan manik, memasak dan gubahan telekung membabitkan beberapa pusat perlindungan termasuk dari Selangor.

Rafidah berkata, institusi terbabit menempatkan 60 pelatih dalam satu masa dan hanya mengambil pelatih yang datang secara sukarela, bagi mengelakkan pelatih melarikan diri dari pusat pemulihan akhlak itu.

Katanya, kini ada dua kanak-kanak dan 10 bayi yang tinggal di situ bersama ibu masing-masing.

Katanya, pihak pengurusan tidak berdepan masalah mendapat kerjasama daripada pelatih namun ada pelatih yang memprotes enggan menetap di situ.

Peserta  tekun menggubah telekung dan memasak dalam pertandingan sempena  Program Sua Kasih Dar Assaadah MAIWP.
Peserta tekun menggubah telekung dan memasak dalam pertandingan sempena Program Sua Kasih Dar Assaadah MAIWP.

“Mereka yang enggan menetap dalam tempoh lama sehingga dua tahun, sikap mereka dingin dan lebih banyak berdiam diri.

“Jika ada masalah begini, kita panggil bagi membolehkan mereka bergaul dengan penghuni lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 6:40 AM