DATUK Dr Zulkifli (tengah) menyampaikan sumbangan Aidil Fitri kepada seorang penerima di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati. FOTO Samadi Ahmad
DATUK Dr Zulkifli (tengah) menyampaikan sumbangan Aidil Fitri kepada seorang penerima di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


SERAMAI 26,400 asnaf di Wilayah Persekutuan akan menerima sumbangan Aidilfitri berjumlah RM12.99 juta daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sumbangan itu adalah daripada zakat yang akan diagihkan kepada penerima secara berperingkat.

Beliau berkata, 25,700 asnaf akan menerima bantuan tunai Aidilfitri berjumlah RM500 seorang manakala bantuan RM200 akan disalurkan kepada 700 anak yatim di bawah kelolaan MAIWP di Darul Kifayah Kuala Lumpur dan Labuan.

"Sumbangan akan disalurkan kepada anak keluarga asnaf yang mengikuti pengajian di Institut Kemahiran Baitulmal MAIWP dan pelatih di Pusat Perlindungan dan Bimbingan Wanita Dar Assaadah," katanya pada majlis penyampaian di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati, Kuala Lumpur, hari ini yang dikongsi di Facebook.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Akbar Samom dan Pengarah JAWI merangkap Setiausaha MAIWP, Mohd Ajib Ismail.

Zulkifli berkata, bantuan Aidilfitri itud isalurkan lebih cepat pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya bagi meringankan beban asnaf dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada para pembayar zakat di Wilayah Persekutuan atas komitmen mereka sehingga membolehkan MAIWP menyalurkan pelbagai bantuan zakat kepada asnaf dan golongan memerlukan sepanjang tempoh PKP.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 7:21 PM