LAPORAN semalam.
LAPORAN semalam.
Ahmad Ismail


PENOREH getah direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes amuk bersenjata hingga menyebabkan dua lelaki terbunuh di Buloh Kasap, Segamat, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat Deputi Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Salina Omar sehingga 19 Julai.

Katanya, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek yang memakai kemeja-T putih dan berseluar pendek dibawa ke pekarangan Kompleks Mahkamah Segamat pada 9.30 pagi.

Noor Ariffin berkata, dalam kejadian 6 petang semalam, Ku Cheng Liong, 74, dan penjual durian, Ng Wan Hung, 60, meninggal dunia selepas diserang dengan parang sepanjang 45 sentimeter.

“Cheng Liong ditetak sekurang-kurangnya empat kali di pipi kiri, kepala, dada dan cedera di jari kiri dipercayai cuba mempertahankan diri, sementara Wan Hung parah di dada dan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di klinik awam,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, hari ini.

Katanya, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan orang awam diingatkan supaya tidak membuat spekulasi dan menyebarkan perkara tidak benar mengenai kes itu hingga boleh menimbulkan salah faham.

“Tolong jangan buat spekulasi dan hormati sensitiviti keluarga mereka terbabit. Biarlah polis jalankan siasatan dan kami akan berkongsi maklumat sahih.

“Siasat awal setakat ini mendapati mangsa tidak mengenali suspek, namun dia dipercayai biasa berurusan dengan penduduk sekitar Buloh Kasap,” katanya.

Noor Ariffin berkata, senjata digunakan menetak mangsa juga sudah ditemui dan ujian saringan ke atas suspek mendapati dia negatif dadah selain tiada rekod jenayah lampau.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi talian hotline IPD Segamat di nombor 07-9324222.

Berita berkaitan:

  • Bunuh dua orang dalam 10 minit
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 3:59 PM