LELAKI berusia 70-an mati diserang menggunakan parang di kedai kopi di pekan Buloh Kasap, Segamat, hari ini. FOTO Ahmad Ismail.
LELAKI berusia 70-an mati diserang menggunakan parang di kedai kopi di pekan Buloh Kasap, Segamat, hari ini. FOTO Ahmad Ismail.
Ahmad Ismail


DUA lelaki warga emas maut ditetak dan ditikam dengan parang dalam dua kejadian berturutan di sekitar pekan Buloh Kasap, Segamat, 6 petang hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kedua-dua mangsa berusia 70-an dan 60-an itu maut di tempat kejadian akibat diserang menggunakan sebilah parang sepanjang 0.6 meter oleh seorang lelaki berusia 33 tahun.

Beliau berkata, dalam kejadian pertama pada 6 petang, mangsa berusia 70-an diserang ketika minum di sebuah kedai kopi di pekan Buloh Kasap.

“Suspek tiba-tiba datang dengan menunggang motosikal Modenas biru dan meletak kenderaannya di kawasan berhampiran kedai kopi berkenaan.

“Suspek meluru ke arah mangsa dan menetaknya berulang kali menyebabkan mangsa mati serta-merta akibat parah di muka dan badan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata, kira-kira 10 minit kemudian, suspek berjalan menuju ke sebuah kaki lima menjual durian dengan jarak kira-kira 200 meter dari lokasi pertama serta menyerang seorang lelaki penjual durian berusia 60-an, menggunakan senjata sama.

“Mangsa kedua ditikam sekali di bahagian hadapan badan dan terus rebah.

“Mangsa sempat dibawa ke klinik kesihatan awam Buloh Kasap untuk menerima rawatan kecemasan, namun meninggal dunia akibat parah.

“Suspek dipercayai warga tempatan ditahan di tempat kejadian oleh sepasukan anggota polis,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian menemui senjata digunakan dalam kejadian itu.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian kerana siasatan masih dijalankan.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Saksi diminta tampil ke balai polis berhampiran atau hubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di nombor 07-9324222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 9:46 PM