NUR Izzani (kanan) menjaga ibunya, Norizah (dua dari kiri) dan ayahnya, Ahmad Kamal yang terlantar dan uzur. FOTO Mohd Khidir Zakaria
NUR Izzani (kanan) menjaga ibunya, Norizah (dua dari kiri) dan ayahnya, Ahmad Kamal yang terlantar dan uzur. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


DEMI menjaga ibu bapa yang sakit, seorang remaja perempuan sanggup mengorbankan masa ke sekolah bagi menggalas tanggungjawab menjaga kedua-dua orang tuanya itu.

Sudah tentu itu bukan mudah buat Nur Izzani Ahmad Kamal, 17, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yam Tuan Radin, Port Dickson untuk menggalas tugas itu kerana bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini.

Nur Izzani mengakui sudah sebulan tidak dapat ke sekolah kerana menjaga bapa Ahmad Kamal Jelani, 62, dan ibunya, Norizah Pandi, 51, yang menghidap pelbagai penyakit.

“Ibu hidap penyakit darah tinggi, darah beku dalam paru-paru, paru-paru berair, masalah jantung dan buah pinggang rosak, manakala ayah menghidap kencing manis kronik dan buah pinggang.

“Memang saya risau tidak ke sekolah kerana akan menduduki peperiksaan SPM tetapi saya mempunyai tanggungjawab lebih besar iaitu menjaga ibu dan ayah yang kini terlantar sakit dan memerlukan perhatian,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Taman D’Pinggiran Kota, Lukut di Port Dickson, hari ini.

Dia ditemui selepas menerima kunjungan dan sumbangan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) dan AKRAB.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia hampir diberikan surat amaran oleh pihak sekolah menyebabkan dia menceritakan perkara sebenar.

“Saya berterima kasih kepada pihak sekolah yang datang melawat dan memahami masalah saya. Saya banyak ketinggalan dalam pelajaran tetapi rakan dan guru banyak membantu.

“Biarpun sukar tetapi saya berusaha untuk cemerlang seperti kakak. Saya yakin perancangan Allah terbaik dan reda menerima ujianNya,” katanya.

Nur Izzani berkata, Kakak Nur Shafiza, 18, memperoleh keputusan 5A 2B dalam SPM tahun lalu tetapi tidak menyambung pengajian sebaliknya bekerja kerana perlu menampung perbelanjaan keluarga.

Sementara itu, Presiden PERKASIH N9, Norfadilah Mansor berkata, pihaknya memberi bantuan awal berbentuk makanan dan keperluan asas kepada keluarga itu.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan pihak sekolah mengenai bantuan yang sewajarnya diberikan dan berharap Nur Izzani dapat meneruskan persekolahan serta menduduki SPM.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga itu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Norizah bernombor 0510341000105354.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 4:49 PM