Aizat Sharif


Kangar: Kejayaan mendapat keputusan 10A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah kemuncak kejayaan Nur Najihah Najwa Zul Burhan, 18, selepas menempuh pelbagai rintangan sepanjang tahun lalu.

Namun begitu, anak kepada pasangan Zul Burhan Bidin dan Hasnah Hasan, kedua-duanya berusia 49 tahun, tidak mahu mendabik dada kerana perjalanannya untuk mencapai cita-citanya menjadi akauntan masih jauh.

"Cita-cita saya adalah untuk menjadi akauntan atau guru dan di sebalik itu juga, impian saya adalah untuk mengubah kehidupan kami sekeluarga.

"Diharapkan, dengan kejayaan ini, ia dapat membuka peluang kepada saya untuk mengambil jurusan yang saya minati seperti perakaunan, perbankan Islam atau syariah di universiti," katanya.

Dia ditemui pada kunjungan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Azman Mohd Yusof di rumah keluarganya di Kampung PIDA 15, Tok Pulau, Simpang Empat di sini, hari ini.

Nur Najihah Najwa yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) (Perempuan) Alawiyah, Kangar berkata, kejayaan mendapat keputusan cemerlang itu sememangnya tidak diduga walaupun dia menunjukkan keputusan positif dalam peperiksaan bermula daripada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Tingkatan 3 (PT3).

NURUL Najihah Najwa (kiri) berterima kasih kepada bapanya Zul Burhan Bidin yang banyak berkorban masa, wang dan tenaga bagi memastikan kejayaan dirinya dalam SPM 2020. FOTO Aizat Sharif
NURUL Najihah Najwa (kiri) berterima kasih kepada bapanya Zul Burhan Bidin yang banyak berkorban masa, wang dan tenaga bagi memastikan kejayaan dirinya dalam SPM 2020. FOTO Aizat Sharif

"Alhamdulillah, ketika bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Serdang, saya memperoleh 5A dalam UPSR, diikuti 6A pada PT3 tetapi untuk SPM, saya tidak mahu terlebih yakin dan hanya berserah kepada Allah SWT untuk mendapat keputusan yang lebih baik.

"Tahun lalu adalah tahun yang mencabar bagi pelajar tingkatan lima kerana kami hanya bersekolah selama tiga bulan sebelum sesi persekolahan ditutup akibat Covid-19. Ia kemudiannya diteruskan kepada sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)," katanya.

Nur Najihah Najwa berterima kasih kepada bapanya yang bekerja sebagai tukang rumah dan ibunya yang juga suri rumah kerana banyak berkorban demi kejayaannya.

Terdahulu, Azman yang mewakili kerajaan negeri meluangkan masa kira-kira 15 minit untuk bertemu dengan Nur Najihah Najwa dan bertanyakan perkembangan selain perancangan remaja berkenaan selepas ini.

Azman turut menyerahkan bantuan makanan serta borang permohonan biasiswa daripada kerajaan negeri untuk dipohon oleh Nur Najihah Najwa sekiranya dia berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 7:08 PM