Reaksi Aleya Atiqah Ibrahim, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King Geogre V (KGV) yang mendapat keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas menyemak keputusan SPM secara atas talian hari ini. FOTO BERNAMA
Reaksi Aleya Atiqah Ibrahim, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King Geogre V (KGV) yang mendapat keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas menyemak keputusan SPM secara atas talian hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Seremban: Kehilangan insan tersayang sebulan sebelum peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak menjejaskan tumpuan Aleya Atiqah Ibrahim dalam menghadapi peperiksaan SPM 2020 yang menyaksikannya cemerlang memperoleh 9A selepas keputusan diumumkan hari ini.

Satu ujian berat buat anak bongsu daripada tiga beradik itu apabila ibunya Wan Mahanum Wan Muhammad meninggal dunia pada September tahun lalu akibat kanser, bagaimanapun kata-kata semangat ibunya yang yakin dirinya mampu meraih 'straight A' dalam SPM masih tersemat dalam ingatannya.

Pelajar aliran sains Sekolah Menengah Kebangsaan King George V Seremban itu berkata, selepas pemergian ibunya, ahli keluarga lain sentiasa memberikan dorongan supaya dia kekal fokus bagi menghadapi peperiksaan SPM.

"Cabaran paling besar ialah kehilangan ibu, waktu itu memang sangat sedih sebab saya antara paling rapat dengan ibu, Alhamdulillah keputusan percubaan ketika itu okey cuma masih perlu diperbaiki, kemudian saya kembali fokus untuk mencapai keputusan yang cemerlang hari ini," katanya ketika dihubungi.

Selepas mendapat keputusan itu Aleya Atiqah, 18, berkongsi berita gembira itu menerusi Twitter @aleyaatqhh dan mendapat banyak pujian daripada netizen.

Menjadikan Dr Nur Amalina Che Bakri sebagai idola, Aleya Atiqah berkata dia juga bercita-cita mahu menjadi seorang doktor untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Aleya Atiqah berkata Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) antara cabaran yang perlu dilalui kerana memerlukan masa untuk mendapatkan fokus seperti pembelajaran di dalam kelas.

Turut berkongsi kejayaannya ialah Nur Rafiqah Najwa Mhd Nazli, 18, yang juga memperoleh 9A.

Pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu itu berkata selain memberi fokus di dalam kelas, dia juga mementingkan disiplin dengan mengutamakan solat serta menjaga hubungan baik dengan guru serta rakan sekolah.

"Selain itu, saya memperuntukkan sembilan jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran," katanya.

Nur Rafiqah Najwa mendedikasikan kejayaan itu kepada ibunya Siti Rohaliza Sahamin, 45, yang sentiasa memberi dorongan dan semangat kepada dirinya untuk membuat persediaan menghadapi peperiksaan terutama ketika negara kini dilanda pandemik Covid-19.

Jelasnya, sejak bapanya meninggal pada 2015 akibat kemalangan jalan raya, ibu yang bekerja sebagai guru Tabika merupakan tulang belakang keluarga yang menggalas tanggungjawab dalam memberikan kehidupan lebih baik untuk mereka empat beradik.

"Saya tinggal di asrama jadi saya berjauhan dengan ibu dan adik-beradik yang tinggal di Sungai Pelek, Selangor. Ibu sentiasa memberi kata-kata semangat dan mendoakan yang terbaik untuk saya terus cemerlang pada masa depan," katanya.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata walaupun pernah berasa patah semangat kerana peperiksaan itu banyak kali ditunda, Nur Rafiqah Najwa tidak mahu faktor emosi mempengaruhi dirinya untuk tidak melakukan terbaik semasa peperiksaan.

Jelasnya pelbagai cabaran perlu dilalui antaranya capaian Internet lemah terutama ketika hujan menyebabkan PdPR terganggu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 4:59 PM