NUR Diyana (tengah) tenang menyiram air mawar di kubur bapanya selepas selesai menduduki peperiksaan Bahasa Melayu Kertas Satu.
NUR Diyana (tengah) tenang menyiram air mawar di kubur bapanya selepas selesai menduduki peperiksaan Bahasa Melayu Kertas Satu.

Seremban: Walaupun baru kematian bapanya, petang kelmarin, seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), di sini, tetap bersemangat menduduki peperiksaan bagi menunaikan permintaan bapanya yang mahu dia berjaya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampangan (SMK Seri Ampangan) Nur Diyana Abdul Rahman, 17, berkata, dia membawa semangat yang ditiupkan bapanya kepada dirinya untuk meneruskan perjuangan dalam pelajaran.

“Saya amat bersedih dengan pemergian ayah saya.

“Saya akan belajar rajin-rajin untuk menunaikan permintaan ayah yang ingin melihat saya menjadi seorang chef.

“Lagipun ramai saudara-mara yang datang memberi kata-kata perangsang kepada saya dan itulah antara sumber kekuatan saya,” katanya ditemui di Masjid At-Taqwa, Paroi, semalam.

Anak bongsu dari empat beradik ini berkata, arwah bapanya amat suka dengan sambal ikan bilis yang dimasaknya.

Nur Diyana yang selesai menduduki kertas peperiksaan Bahasa Melayu Kertas Satu dihantar gurunya untuk menghadiri pengebumian bapanya, pagi semalam, di Tanah Perkuburan Islam Paroi.

Dia kemudian kembali ke sekolah untuk menduduki peperiksaan Bahasa Melayu Kertas Dua, petang semalam.

Abdul Rahman Kadir, 53, meninggal dunia 2.55 petang kerana sakit jantung di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.

Allahyarham yang bekerja sendiri meninggalkan isteri, Nurazal Majlis, 49, dan empat anak.

Sementara itu, Pengetua SMK Seri Ampangan Mohd Sazali Sam berkata, pihak sekolah akan membantu Nur Diyana dengan memberi kata-kata perangsang dan suntikan motivasi untuknya menduduki peperiksaan.

“Saya telah menasihati Nur Diyana, yang pergi tetap akan pergi. Kita yang masih hidup perlu teruskan hidup.

“Para guru di sekolah ini turut memberi kata-kata perangsang untuk Nur Diyana di samping melancarkan derma kilat untuknya,” katanya.

Sebanyak 267 calon SMK Seri Ampangan menduduki peperiksaan SPM yang turut disertai 27 calon persendirian. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:12 AM