Antara dokumen yang ditunjukkan  bekas juruterbang ketika ditemu bual wartawan berikutan kegagalan pembayaran gaji oleh Rayani Air.
Antara dokumen yang ditunjukkan bekas juruterbang ketika ditemu bual wartawan berikutan kegagalan pembayaran gaji oleh Rayani Air.
myMetro

Shah Alam: “Nasib kami ibarat gantung tak bertali kerana bukan saja tunggakan gaji belum dibayar, malah caruman bulanan tidak diperoleh sehingga ke hari ini,” kata bekas juruterbang syarikat penerbangan, Rayani Air yang enggan dikenali.

Bapa tiga anak berusia 40 tahun itu mewakili 415 kakitangan yang memohon semua pihak berkaitan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik syarikat berkenaan yang gagal membayar tunggakan gaji sejak Mac lalu.

Ia termasuk gesaan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang perlu bertindak berikutan kegagalan Rayani Air membayar caruman mereka sejak September tahun lalu.

Dakwa juruterbang itu, berdasarkan penyata gaji, syarikat memotong sejumlah gaji untuk dicarumkan ke dalam akaun pemilik namun ia tidak dijelaskan kepada KWSP.

“Ia hanya disedari pada Januari lalu selepas seorang kakitangan mahu mendapatkan maklumat berhubung dividen miliknya. Justeru, kami membuat laporan kepada KWSP untuk tindakan lanjut.

“Namun, belum ada maklum balas sehingga kini dan menyukarkan kami mengetahui jumlah sebenar caruman,” katanya yang hadir di Balai Berita NSTP Shah Alam, di sini, semalam.

Menurutnya, permasalahan timbul termasuk tuntutan tunggakan gaji kakitangan melebihi RM6 juta berikutan didakwa masih tidak menerima sebarang notis berhenti kerja.

“Bagi Mac, tunggakan yang perlu dibayar mencecah RM1.7 juta dan ia berlarutan sehingga ke Julai lalu kerana tidak mengetahui status sebenar kedudukan kami.

“Ia belum termasuk tuntutan dibuat pelanggan yang juga dikatakan mencecah RM6 juta,” katanya yang berkhidmat sejak November tahun lalu.

Justeru, dia yang kini menunggu peluang pekerjaan lain merayu semua pihak termasuk kementerian berkaitan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan segera bagi memastikan keadilan serta kebajikan mereka terbela.

“Sebahagian besar daripada kami tampil membuat laporan polis dan berharap ia membantu menyelesaikan permasalahan ini selain memberi satu kepastian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 10:16 AM