ANTARA pekerja kontrak pembersihan       mengadakan piket di depan Pejabat Tenaga Rakyat Dungun selepas tidak menerima gaji  daripada majikan.
ANTARA pekerja kontrak pembersihan mengadakan piket di depan Pejabat Tenaga Rakyat Dungun selepas tidak menerima gaji daripada majikan.
Rosli Ilham

Dungun: Sekumpulan pekerja kontrak pembersihan risau dengan nasib mereka kerana majikan masih belum menjelaskan gaji bulan lalu.

“Setiap bulan kami terpaksa mogok, baru majikan menjelaskan gaji dan sehingga kini belum dibayar gaji bulan lalu. Kami hilang sabar dan berharap agar Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dapat membantu,” kata Mohd Fairul Azreen Ruszlan, 29, yang mewakili 75 pekerja kontrak pembersihan di sebuah universiti awam (UA), di sini, semalam.

Mohd Fairul berkata, kebanyakan mereka bekerja sebagai tukang sapu, pencuci longkang dan bangunan serta pemotong rumput di UA berkenaan sejak lima hingga 12 tahun lalu.

Menurutnya, majikannya beralamat di Kuala Lumpur dan mendapat tawaran kontrak pembersihan di UA berkenaan sejak 15 Ogos 2015.

“Majikan sebelum ini sering bayar gaji tepat pada masanya dan tidak pernah memberi masalah kepada kami tetapi sejak kebelakangan ini keadaannya berubah.

“Hari ini (semalam) juga, kami mengambil keputusan membuat semakan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan mendapati kami tidak pernah dicarum majikan.

“Lebih malang semakan juga mendapati majikan hanya lapan bulan membuat caruman dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),”katanya.

Seorang lagi pekerja, Mohd Rizuan Zakaria, 33, berkata, mereka memerlukan gaji kerana perlu membeli peralatan dan pakaian sekolah anak.

“Jangan buat kami begini, kami tidak pernah ingkar arahan majikan dan apa nasib kami sekiranya KWSP dan PERKESO tidak dicarum majikan,” katanya.

Menurutnya, dia berharap UA yang memberi kontrak kepada majikannya supaya mengambil tindakan tegas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 9:24 AM