Agensi

BANYAK pihak mempertikaikan arahan keselamatan yang mengarahkan penghuni berlindung dalam rumah, jangan keluar dari Grenfell Tower yang sedang terbakar kerana arahan itu berkemungkinan antara punca ramai terkorban - mati hangus dalam rumah.

Ramai mangsa menegaskan mereka terselamat kerana tidak mempedulikan arahan daripada operator 999 yang meminta mangsa berada dalam rumah, tunggu bantuan datang.

Ada mangsa menunggu sehingga tiga jam sebelum mengambil keputusan menggadai nyawa keluar dari bangunan itu, namun ramai yang tidak bernasib baik, mati dalam rumah kerana mengikut arahan itu.

Menurut akhbar The Sun, jumlah korban kini mencecah 65 orang berdasarkan senarai rasmi orang hilang manakala angka pihak berkuasa masih kekal 17 orang sejak semalam.

Operator talian kecemasan, pegawai yang memegang pembesar suara serta pelan kecemasan bangunan mendesak penghuni kekal dalam rumah selepas kebakaran bermula pada 12.50 tengah malam Rabu lalu.

Menurut Daily Mail, seorang penghuni mendakwa satu keluarga masih hilang, dipercayai maut kerana enggan meninggalkan rumah mengikut arahan pihak berkuasa. Seorang wanita yang terselamat berkata dia tidak akan mengikut arahan pihak berkuasa selepas ini.

Pakar dari Kesatuan Ahli Bomba, David Sibert, berkata pada dasarnya rumah di menara atau bangunan flat dibina sebagai ‘kotak tahan api’ dikelilingi binaan tahan api.

“Kita boleh membakar sesebuah flat dan membiarkannya hingga padam namun api itu tidak akan menjejaskan rumah lain dalam bangunan itu,” katanya.

Namun, fakta itu tidak berlaku dalam kebakaran Grenfell Tower kerana api merebak terlalu pantas, dalam masa tidak sampai 20 minit untuk merebak dari tingkat tiga hingga ke puncak - tingkat 27.

Waewta Suparuksanond, 62, yang tinggal di tingkat 10 selama 31 tahun, berkata dia menunggu selama tiga jam untuk diselamatkan sebelum memutuskan keluar sendiri pada jam 4 pagi.

Menurutnya, asap membuatkannya sukar bernafas namun operator talian kecemasan berterusan menyuruhnya menunggu bantuan sampai.

“Pada pertengahan jalan menuruni tangga baru terjumpa anggota bomba. Saya tidak akan mendengar nasihat operator 999 lagi selepas ini,” katanya.

Pasukan paramedik membawa mayat mangsa ke hospital. - Foto Daily Mail
Pasukan paramedik membawa mayat mangsa ke hospital. - Foto Daily Mail

Otman Boujettif, 42, yakin keluarga sepupunya, Abdul Wahabi, 52, isteri dan tiga anak mereka berusia antara lapan hingga 20 tahun terbunuh dalam kebakaran itu kerana tidak mahu meninggalkan rumah di tingkat 21.

“Kami menelefon mereka pada 1.30 pagi dan mereka beritahu bomba arahkan mereka kekal dalam rumah, halang celah pintu dengan tuala basah, basahkan lantai dan tunggu.

“Tidak mungkin anggota bomba dapat sampai ke tingkat 21 tepat pada masanya,” katanya.

Pereka grafik, James Wood, 32, berkata: “Bomba dan polis beri arahan berbeza - suruh penghuni kekal dalam rumah melalui pembesar suara.

“Namun, 20 minit kemudian apabila api semakin marak, mereka arahkan kami keluar. Sudah terlambat kerana ramai yang terperangkap tidak dapat keluar

“Saya boleh dengar jeritan mereka,” katanya.

Briged Bomba London enggan memberi ulasan mengenai dakwaan itu dengan alasan semua persoalan kini akan dijawab oleh siasatan awam nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2017 @ 5:07 PM