Rosliza Mohamed


EMPAT pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk dua wanita ditahan secara berasingan dalam Ops Kutip Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan, semalam.

Mereka terdiri warga Thailand, Indonesia dan Pakistan berusia antara 19 hingga 41 tahun ditahan dalam operasi bermula dari 11 pagi hingga 5 petang.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan JIM Kelantan Ruzaana Mohamed berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya menahan dua wanita Thailand di sebuah kedai makan di Jalan Besar Chabang Empat, Tumpat.

"Ia diikuti serbuan di kedai elektrik dan perabot yang membawa kepada penahanan lelaki warga Pakistan, manakala seorang lelaki warga Indonesia ditahan di sebuah kafetaria di Nilam Puri, Kota Bharu.

"Semua yang ditahan disiasat mengikut Peraturan 39b Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Menurutnya, dalam operasi itu, pihaknya turut mengeluarkan saman kepada majikan kerana mengambil PATI bekerja.

Katanya, majikan tempatan diminta mematuhi peraturan ditetapkan terutama dalam soal mengambil pekerja warga asing.

“Semua PATI terbabit dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 4:52 PM