WANITA warga Thailand menjual kerepek sambil meriba anak berusia dua tahun ketika disoal siasat anggota JIM Kelantan dalam Ops Bersepadu (Kutip) di Kota Bharu. FOTO Ihsan Jabatan Imigresen Kelantan
WANITA warga Thailand menjual kerepek sambil meriba anak berusia dua tahun ketika disoal siasat anggota JIM Kelantan dalam Ops Bersepadu (Kutip) di Kota Bharu. FOTO Ihsan Jabatan Imigresen Kelantan
Siti Rohana Idris


SEORANG wanita warga Thailand mendakwa ditinggalkan suami sejak beberapa bulan lalu sehingga terpaksa mengemis sambil menjual kerepek bersama dua anaknya untuk menyara hidup.

Wanita berusia 24 tahun bersama dua anaknya berusia enam dan dua tahun ditahan di hadapan sebuah bank di pusat bandar Kota Bharu kira-kira 11 pagi hari ini, dalam Ops Bersepadu (Kutip) yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Malaysia Kelantan, Penolong Pengarah Imigresen Ruzaana Mohamed berkata, wanita itu memberitahu suaminya sudah menghilangkan diri dan disebabkan itu dia terpaksa menjual kerepek untuk mencari sumber pendapatan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati wanita itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.

“Kami terpaksa menahannya mengikut Seksyen 6(1)(c) untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, dalam tangkapan berasingan, JIM Kelantan turut menahan seorang lelaki warga Thailand berusia lingkungan 30-an atas kesalahan sama.

“Semua tahanan dibawa di Depot Imigresen Tanah Merah mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, operasi dijalankan untuk meninjau pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terbabit dengan kegiatan berniaga makanan ringan di kaki lima bank.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 5:11 PM