KENDERAAN dipercayai milik suspek yang diparkir di hadapan kedai basikal di Jalan Dato' Undang Luak Johol.  FOTO Amran Yahya
KENDERAAN dipercayai milik suspek yang diparkir di hadapan kedai basikal di Jalan Dato' Undang Luak Johol. FOTO Amran Yahya
Amran Yahya


ANGKARA tidak puas hati kenderaannya dikenakan saman oleh polis, peniaga berlagak samseng apabila memandu secara berbahaya dan memaki hamun anggota polis.

Dalam kejadian 12 tengah hari semalam, lelaki berusia 31 tahun itu meletakkan kereta di bahu jalan di Jalan Dato’ Undang Luak Johol, di Kuala Pilah, sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, polis menerima aduan daripada orang awam mengenai beberapa kenderaan diletakkan di bahu jalan dan berlaku kesesakan.

Menurutnya, anggota trafik ke lokasi dan mengeluarkan saman terhadap kenderaan yang diparkir di bahu jalan.

“Ketika anggota mengeluarkan saman ke atas kereta milik seorang lelaki, dia menghampiri anggota lalu masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin. Suspek berlalu pergi dengan cara pemanduan yang merbahaya.

“Suspek kemudian berhenti dan keluar dari keretanya. Dia mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota selain mengugut mahu mengambil tindakan terhadap anggota terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Haslah berkata, anggota itu meminta suspek mengeluarkan MyKad, namun dia tidak memberikan kerjasama sebaliknya terus mengeluarkan kata-kata kesat.

Berikutan itu, katanya, anggota menahan suspek dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah, untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Haslah berkata, polis kerap menerima aduan mengenai tindakan pemilik meletakkan kenderaan di bahu jalan sehingga berlaku kesesakan teruk menyebabkan pihaknya perlu mengambil tindakan undang-undang bagi mengelak kesalahan sama berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 3:14 PM