FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hairulazim Mahmud


“PENGUATKUASAAN e-hailing akan tetap dikuatkuasakan pada 12 Oktober ini, tiada perubahan,” kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Sehubungan itu, pihaknya tidak akan melayan sebarang permintaan untuk melanjutkan tarikh berkenaan kerana operasi perkhidmatan itu tidak akan terganggu.

Katanya, isu penukaran kod kenderaan ke ‘AH’ (e-hailing persendirian) dan mencetak Permit Kenderaan E-hailing (eVP) tidak perlu dilakukan oleh pemandu atau pemilik kenderaan terbabit.

“Pemilik dan pemandu kenderaan e-hailing tidak perlu hadir ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)

bagi tujuan ini kerana sudah dilaksanakan melalui saluran maklumat eVP oleh APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat), LPKP (Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan) Sabah dan LPKP Sarawak.

“Maklumat itu akan ditukar secara automatik kepada kod ‘AH’ dalam mySIKAP oleh JPJ

“Selain itu, kod terbabit hanya untuk kegunaan dalaman pentadbiran sistem mySIKAP dan tidak akan dicetak dalam geran hak milik kenderaan atau tertera dalam mana-mana dokumen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di kementeriannya di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, operator e-hailing seperti Grab mempersoalkan dua peraturan baru JPJ iaitu penukaran kod kenderaan kepada ‘AH’ dan pemandu mesti mencetak eVP dengan berurusan di kaunter JPJ.

Mereka mendakwa tidak mempunyai masa yang cukup untuk berbuat demikian sekiranya peraturan itu dikuatkuasakan Sabtu ini.

Kod ‘AH’ antaranya adalah untuk JPJ mengenal pasti kenderaan persendirian individu dan e-hailing.

Selain itu, ia untuk memastikan ia menjalani pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Dalam pada itu, Loke berkata, JPJ tidak akan terus bertindak memeriksa semua kenderaan e-hailing pada hari pertama penguatkuasaannya.

Sebaliknya, katanya, pihak berkuasa melaksanakan penguatkuasaan secara berperingkat untuk memberi peluang kepada pemandu dan pemilik e-hailing mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.

Sementara itu, Loke berkata, mana-mana pemandu yang sudah lulus ujian Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) boleh mencetak slip kelulusan sementara menunggu lesen PSV itu siap.

“Mereka boleh menunjukkan slip lulus ujian PSV itu sekiranya ditahan oleh penguatkuasa JPJ,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 55,665 kenderaan sudah memiliki eVP di seluruh negara.

Katanya lagi, sebanyak 113,118 calon sudah berdaftar dan menghadiri kursus PSV sementara 55,673 pemandu sudah lulus ujian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 1:53 PM