Pemandu Grab memohon lesen PSV. FOTO Arkib NSTP
Pemandu Grab memohon lesen PSV. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

LEBIH 60,000 pemandu e-hailing sudah lulus Lesen Vokasional Malaysia (PSV) seperti diwajibkan Kementerian Pengangkutan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, pada masa ini selain pendaftaran bagi mendapatkan lesen berkenaan yang berterusan setiap hari, JPJ juga meluluskan kursus latihan secara dalam talian di beberapa pusat dibenarkan.

“Kami secara berterusan mengadakan pendaftaran, mengadakan peperiksaan secara ramai-ramai untuk pemandu e-hailing, jadi kami boleh mempercepatkan proses menyediakan mereka dengan lesen yang diperlukan.

“Di Lembah Klang saja, kira-kira 2,000 pemandu e-hailing menduduki peperiksaan setiap minggu, kami mendapat sambutan menggalakkan daripada mereka yang menjalankan operasi perniagaan e-hailing.

“Kami tidak lihat sebarang masalah dan pada hujung tahun ini, kami jangka semua pemandu e-hailing ada lesen PSV,” katanya ditemui selepas program JPJ bersama media di Labuan semalam.

Sementara itu, Shaharuddin berkata, sehingga kini 74,876 kenderaan didaftarkan JPJ di pulau bebas cukai dengan 1,577 kenderaan didaftarkan dari Januari hingga 24 Oktober lalu.

“Ini menunjukkan pendaftaran kenderaan baharu di Labuan berterusan dan kami mahu memastikan semua kenderaan yang didaftarkan, mengikut peraturan dan undang-undang,” katanya.

Shaharuddin berkata, bagi tempoh sama, 1,801 pemandu baharu lulus lesen memandu masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 11:14 AM