Shamsul Munir Safini


AHLI sindiket dadah yang baru aktif mengedar bahan terlarang itu diberkas polis dalam dua serbuan berasingan di Seberang Jaya dan Simpang Ampat, Georgetown, Sabtu lalu.

Dalam serbuan jam 3.55 petang itu, polis juga berjaya menemui dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM718,700.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran berkata, lelaki berusia 23 tahun itu ditahan di tepi jalan di kawasan Seberang Jaya oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.

Katanya, susulan penahanan dan soal siasat, polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah disewa suspek di Simpang Ampat sejam selepas itu.

“Di premis berkenaan, kita berjaya merampas 38,904 gram heroin bernilai RM518,700, 810 gram heroin (RM65,000) dan 4,500 biji pil ekstasi (RM135,000).

“Polis juga merampas sebuah kereta jenis Honda Civic bernilai RM35,000 milik lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan berkenaan dan dia disyaki menjadi orang tengah dalam sindiket pengedaran dadah ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Georgetown, hari ini. Narenasagaran berkata, rumah berkenaan disewa suspek sejak sebulan lalu sebagai stor menyimpan dan membungkus dadah.

“Sindiket ini ini dipercayai baru sahaja aktif sejak enam bulan lalu sebelum mereka berjaya dikesan polis.

“Pihak kami juga masih menyiasat dalang sindiket ini dan dari mana bekalan dadah ini diperolehi,” katanya.

Menurutnya, ujian saringan air kencing suspek negatif namun dia mempunyai dua rekod jenayah lampau.

Katanya, kesemua dadah ini boleh digunakan 100,000 orang penagih dan suspek direman seminggu sehingga 29 Jun ini.

Narenasagaran berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 12:40 PM