NARENASAGARAN (dua dari kiri) melihat dadah yang dirampas. FOTO Danial Saad
NARENASAGARAN (dua dari kiri) melihat dadah yang dirampas. FOTO Danial Saad
Hadzlihady Hassan


POLIS berjaya merampas pelbagai dadah bernilai RM510,820 dalam dua serbuan berasingan di Tanjong Tokong serta Jelutong, Sabtu dan Ahad lalu.

Dalam serbuan pertama pada jam 8.30 pagi, Sabtu lalu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang menahan seorang lelaki berusia 51 tahun di Jelutong.

Ketua Polis negeri Datuk T Narenasagaran berkata, dalam serbuan itu, polis merampas syabu seberat 4.12 kilogram (kg) bernilai RM207,000 dan menyita sebuah Honda CRV bernilai RM40,000.

Menurutnya, dalam serbuan kedua jam 1 tengah hari, Ahad lalu, yang dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, pihaknya menahan enam ahli sindiket pengedaran dadah berusia 23 hingga 34 tahun.

“Dalam serbuan itu, kita merampas 1.5 kg syabu bernilai RM156,900, 8,400 biji pil eramin 5 bernilai RM126,000, 444 biji pil ekstasi bernilai RM13,320 dan 50.75 gram ketamin bernilai RM7,600.

“Kita turut menyita wang tunai RM16,000, barang kemas bernilai RM9,655 serta wang dalam akaun bernilai RM7,250 dan empat kenderaan bernilai RM104,300,” katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang, Jalan Penang, hari ini.

Narenasagaran berkata, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dalam dua serbuan itu bernilai RM510,820 dan nilai keseluruhan barang yang disita pula berjumlah RM177,205.

“Hasil siasatan mendapati seorang daripada suspek bekerja sebagai peniaga namun dia turut berselindung dengan menjadikan kegiatan mengedar dadah sebagai jalan mudah mencari wang sampingan.

“Dalang sindiket ini ialah seorang lelaki berusia 34 tahun yang turut ditahan.

“Dia didapati sudah bergerak aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak dua bulan lalu,” katanya.

Menurutnya, semua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 4:09 PM