KETUA Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zamani Che Awang (dua dari kanan) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas pada sidang media, hari ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
KETUA Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zamani Che Awang (dua dari kanan) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas pada sidang media, hari ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Hadzlihady Hassan


RAHSIA seorang lelaki hidup mewah walaupun tidak bekerja terbongkar apabila dia ditahan kerana mengedar dadah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, lelaki berusia 21 tahun itu ditahan dalam tandas awam di Jelutong, 3.45 petang, Khamis lalu.

Menurutnya, dalam serbuan itu, sebanyak 4.6 kilogram syabu berjumlah RM260,000 dirampas

“Polis pada mulanya merampas 101 gram syabu bernilai RM15,150 bersama lelaki terbabit.

“Susulan daripada itu, kita menyerbu rumah sewanya di Sungai Ara, Bayan Lepas dekat sini dan merampas 4.5 kilogram syabu bernilai RM244,850 di situ,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Georgetown, hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas alat penimbang digital, plastik lutsinar dan beberapa peralatan membungkus dadah serta siasatan mendapati lelaki itu mendapatkan bekalan dadah sebelum membungkus semula dan menjual kepada pelanggan sekitar negeri ini.

Katanya, berdasarkan siasatan lelaki itu adalah anggota sindiket pengedaran dadah dan di percayai terbabit dalam kegiatan berkenaan sejak tiga bulan lalu.

Che Zaimani berkata, polis turut merampas wang tunai RM2,000 dan menyita sebuah Toyota Vios serta motosikal Yamaha 135LC milik suspek.

“Kita percaya suspek tidak bergerak bersendirian dan kami masih memburu rakan-rakan sindiket pengedaran dadah suspek, dipercayai berada sekitar negeri ini,” katanya.

Katanya, lelaki yang belum berkahwin dan positif dadah itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 5:26 PM