DR Mahathir (empat kiri) bertemu dengan Ahmad Safiuddin (tiga kiri) serta dan Dr Nur Amalina (empat kanan) dan doktor bedah plastik pediatrik dan craniofacial, Dr Juling Ong (tiga kanan). FOTO Facebook Ahmad Safiuddin Ahmad Razak
DR Mahathir (empat kiri) bertemu dengan Ahmad Safiuddin (tiga kiri) serta dan Dr Nur Amalina (empat kanan) dan doktor bedah plastik pediatrik dan craniofacial, Dr Juling Ong (tiga kanan). FOTO Facebook Ahmad Safiuddin Ahmad Razak
Zanariah Abd Mutalib


BAPA kepada Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak hari ini berkongsi gambar pertemuan beliau dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di London, semalam.

Gambar berkenaan yang turut memaparkan isterinya, Nurul Erwani Zaidi; pakar bedah pelatih, Dr Nur Amalina Che Bakri dan pasukan doktor yang terbabit dalam merawat Ainul Mardhiah dimuat naik dalam laman Facebooknya.

“Alhamdulillah. Selain Tun Dr Mahathir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pun pernah bertemu kami sejurus kami tiba di hospital pada hari pertama.

“Mereka semua mendoakan yang terbaik buat Ainul Mardhiah,” katanya.

Dr Mahathir semalam menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia di kediaman Pesuruhjaya Tinggi di Templewood Gardens, London.

Beliau sebelum ini dalam lawatan kerja tiga hari ke United Kingdom (UK) sejak Jumaat lalu.

Pada masa sama, Ahmad Safiuddin turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan agensi kerajaan termasuk Pusat Zakat Melaka, Majlis Agama Islam Melaka dan wakil rakyat yang banyak membantu beliau serta keluarga dalam urusan pembedahan Ainul Mardhiah.

“Tidak ketinggalan juga (ucapan terima kasih) kepada doktor yang merawat Ainul sebelum ini, NGO (badan bukan kerajaan), ahli korporat, rakyat Malaysia dan pihak lain yang banyak membantu memudahkan urusan kami.

“Tiada kata lain boleh kami katakan, tanpa mengira fahaman, agama dan bangsa, anda semua membuat satu perkara yang baik dan mulia di sisi Tuhan. Tuhan akan mengira setiap usaha baik tuan/puan yang dilakukan di akhirat kelak.

“Terima kasih kepada semua doktor (Malaysia dan UK) kerana anda semua adalah insan yang sentiasa mahukan yang terbaik buat Ainul,” katanya.

Ainul Mardhiah, sembilan bulan, yang menghidap ‘Germ Cell Tumour’ selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mulutnya di sebuah hospital di London, 10 Jun lalu.

Ketumbuhan pada mulut bayi berkenaan yang mula membesar sejak dilahirkan hingga mencapai berat 200 gram itu, berjaya dibuang sekumpulan pakar bedah dan anestetik, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway.

Keadaan kesihatan Ainul Mardhiah yang semakin stabil juga membolehkan bayi itu dipindahkan ke wad biasa sejak Jumaat lalu, dengan semua jarum di tangan dan kakinya sudah dicabut.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 11:46 AM