Nabihah Kamal


PILU hati seorang ibu apabila dia hanya mampu baring di katil, sekali gus tidak dapat merasai kenikmatan suasana Ramadan, antaranya tidak mampu menyediakan juadah berbuka untuk suami dan anak.

Lebih menyedihkan, pada Aidilfitri nanti, itulah juga yang akan dilaluinya.

Zaleha Sarif, 51, ibu kepada empat anak lelaki dan dua anak perempuan disahkan menghidap Spinal Turboculosis (TB) sejak April lalu dan terlantar dengan terpaksa memakai lampin pakai buang serta perlu diangkat jika hendak ke mana-mana.

"Penyakit saya menyebabkan tulang belakang gagal berfungsi sehingga tidak dapat duduk dan berdiri. Saya perlu diangkat untuk mandi dan pakai lampin pakai buang.

"Hidup saya bergantung kepada suami dan anak. Apapun saya reda,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1, Subang Jaya hari ini.

Suami Zaleha, Kamarul Baharin Kamarudin, 53, berkata, isterinya mula berasa sakit akibat penyakit berkenaan sejak Jun tahun lalu. 

"Saya bawa dia (Zaleha) ke klinik tetapi doktor tidak dapat kesan penyakitnya. Bagaimanapun,pada Mac lalu,beratnya susut dari 42 kilogram(kg) ke 30 kg.

"Risau dengan keadaan itu, saya bawa dia ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan," katanya.

Menurutnya, selepas sebulan di wad hospital, doktor mengesahkan isterinya menghidap penyakit TB yang mengakibatkan tulang belakangnya rosak.

"Dia secara tiba-tiba sakit belakang dan tidak boleh bangun. Sejak dari itu, saya dan anak  membantunya," katanya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap berikutan perlu menjaga isterinya.

Katanya, dia berharap isterinya sihat seperti sedia kala.

"Tiga anak saya masih bersekolah di tahun 3, tingkatan 1 dan tingkatan 4, manakala tiga lagi anak saya yang berusia 21,19, dan 17 terpaksa bekerja untuk membantu saya.

"Kami perlu menampung untuk membeli lampin dan susu khas yang diperlukan Zaleha," katanya.

Sementara itu, Presiden We Love Charity , Mazdiana Abd Rashid berkata, dia sedih melihat keadaan Zaleha yang terlantar di katil.

"Sebelum ini dia bekerja sebagai tukang cuci di sebuah pasar raya untuk membantu suaminya yang tiada pekerjaan tetap. Kini, dia sakit dan kami cuba membantu dalam bentuk pemberian makanan sempena persediaan di Aidilfitri nanti," katanya.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan di akaun milik anak perempuan Zaleha, Kamalia Kamarul Baharin di akaun Bank Simpanan Nasional 1699541 00188314.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2017 @ 9:34 PM
Mazdiana menyerahkan sumbangan makanan bagi membantu Zaleha sekeluarga. Turut serta, suami Zaleha.
Mazdiana menyerahkan sumbangan makanan bagi membantu Zaleha sekeluarga. Turut serta, suami Zaleha.
Zaleha terlantar akibat masalah tulang belakang.
Zaleha terlantar akibat masalah tulang belakang.