MOHD Mat menyapu ubat pada kaki Mahad ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Rhu Muda, Marang. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
MOHD Mat menyapu ubat pada kaki Mahad ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Rhu Muda, Marang. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


“SEJAK abang kemalangan, saya menjaga dia sepenuhnya kerana dia tidak dapat berjalan.

“Perkara itu menyebabkan saya yang sebelum ini bekerja sebagai tukang rumah hilang punca pendapatan,” kata Mohd Mat Min, 62.

Dia menjaga dan menguruskan abangnya, Mahad Mat Min, 63, yang cedera pada bahagian pinggul, sekali gus tidak mampu berjalan selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Taman Selera, Kelulut, Marang pada 12 Ogos lalu.

Mohd Mat berkata, abangnya itu tidak mempunyai keluarga manakala anak tunggalnya, Mohamad Mahad, 33, berkerja sebagai pengawal keselamatan di Dungun.

“Mohamad selalu mengirim duit kepada saya untuk menampung perbelanjaan lampin pakai buang digunakan Mahad sekarang.

“Memandangkan Mahad sudah uzur, dia kerap buang air kecil dan besar menyebabkan lampin pakai buang perlu kerap ditukar.

“Lebih RM300 dibelanjakan untuk membeli lampin pakai buang menyebabkan saya dan anaknya tidak mampu menampung kos berkenaan secara berterusan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Rhu Muda, Marang.

Mohd Mat berkaa, dia mengharapkan keprihatinan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membantunya menampung kos keperluan bulanan abangnya.

“Saya tidak boleh berkerja kerana menjaganya pada setiap hari, segala urusan menjaganya diuruskan sendiri.

“Pada waktu pagi, Mahad perlu dimandikan terlebih dulu selain menukar lampin pakai buang bagi memastikan dia selesa dan tidak dijangkiti penyakit kulit.

“Jika ikutkan saya tidak mampu untuk menjaga abang tetapi memandangkan abang tidak mempunyai ahli keluarga lain, saya sanggup berkorban untuknya.

“Berat macam mana sekalipun tanggungjawab untuk menjaganya, saya akan teruskan kerana dia ialah abang saya,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Mohd dan Mahad boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 11105-29-00009948-4.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 11:14 PM