PENGASAS Pusat Anak Yatim Walidaina Taman Satria Senawang, Mohd Zatullah Kamarudin bersama sebahagian anak yatim di hadapan bangunan asrama. FOTO Mohd Amin Jalil
PENGASAS Pusat Anak Yatim Walidaina Taman Satria Senawang, Mohd Zatullah Kamarudin bersama sebahagian anak yatim di hadapan bangunan asrama. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


KEADAAN asrama yang terhad dan sempit, tidak dapat memberikan keselesaan kepada 13 anak yatim di Pusat Jagaan Anak Yatim Walidaina (PJAYW) yang beroperasi di Taman Satria Senawang, di sini.

Pengasasnya, Mohd Zatullah Kamarudin berkata, penubuhan PJAYW pada awal 2017 adalah berorientasikan kebajikan bagi memelihara, menjaga dan membela nasib anak yatim serta miskin melalui pendidikan berteraskan Islam.

Mohd Zatullah, 27, berkata rumah teres setingkat disewa daripada penduduk setempat yang dijadikan asrama anak yatim itu agak sempit dan kurang selesa.

“Kemudahan bilik air juga terbatas dan bilik yang menempatkan warden juga kurang selesa, namun setakat ini itu saja kemudahan yang ada.

“Selain itu, hanya ada satu ruang membaca di luar rumah untuk penghuni mengulangkaji pelajaran setiap hari. Kami tidak dapat menerima lebih ramai anak yatim walaupun ada permintaan kerana tempat terhad,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Zatullah berkata, pihaknya sedang berusaha mengumpul dana bagi mencari tapak lain di kawasan berhampiran yang lebih selesa untuk menempatkan anak yatim berusia antara tujuh hingga 14 tahun.

Beliau berkata, setakat ini ramai yang menyumbang dana tetapi ianya belum mencukupi untuk menampung keperluan mencari tapak asrama baharu.

“Dana yang ada hasil sumbangan pelbagai pihak itu sekadar mencukupi untuk menampung kos operasi bulanan termasuk makan minum, sewa, yuran persekolahan pelajar dan kos utiliti lain membabitkan sebanyak RM8,000 sebulan.

“Namun kami bersyukur kerana masih ramai yang prihatin dan membantu pusat ini dalam pelbagai bentuk termasuk barangan makanan,” katanya.

Menyentuh mengenai idea awal penubuhan pusat itu, Mohd Zatullah yang dibantu isterinya, Azmahani Basir, 26, berkata usahanya itu adalah bagi menyempurnakan amanat ibu bapa mentuanya yang meninggal dunia pada 2007 dan 2016.

“Pengalaman menjadi tenaga pengajar pusat pengajian al-Quran dan rumah kebajikan membantu saya menguruskan rumah penjagaan ini.

“Saya akui ia bukan tugas yang mudah terutama kami hanya orang biasa, tetapi rasa bersalah pula jika saya tidak membantu mereka,” katanya.

Beliau berharap hasratnya untuk menempatkan anak yatim itu di tempat lebih selesa tercapai selain mahu melahirkan ramai anak yatim berjaya dalam pendidikan dan bergelar hufaz.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 5:55 PM