PENGUSAHA bas sekolah. FOTO Iqmal haqim Rosman
PENGUSAHA bas sekolah. FOTO Iqmal haqim Rosman
Mohd Amin Jalil

Seremban: Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) menyambut baik pengumuman kerajaan mengenai pembukaan sesi persekolahan secara berperingkat mulai bulan depan dan akan berusaha membantu memastikan perkhidmatan bas sekolah dapat disediakan.

Bagaimanapun, Presiden GPBSM Mohd Rofik Mohd Yusof mengakui kemungkinan perkhidmatan itu tidak dapat disediakan sepenuhnya berikutan hanya sebahagian daripada 14,000 ahli gabungan di seluruh negara berupaya menyediakannya.

Menurutnya, sebahagian lagi pengusaha bas sekolah berhadapan pelbagai masalah terutama kekangan kewangan selain ada dalam kalangan mereka yang sudah menjual bas selepas perniagaan terjejas susulan penutupan sekolah sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini tahun lalu.

"Kesan daripada langkah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Mac tahun lalu, ramai pengusaha bas sekolah yang gulung tikar selain sudah menceburkan diri dalam bidang atau aktiviti ekonomi yang lain.

"Justeru, kami menjangkakan hanya sekitar 50 peratus dalam kalangan ahli yang masih berupaya menyediakan perkhidmatan pengangkutan itu.

"Namun begitu, mereka juga akan bersikap tunggu dan lihat kerana untuk memulakan kembali operasi bas, perlu mengeluarkan modal baharu untuk persiapan termasuk bagi pemeriksaan di Pusat Kenderaan Berkomputer (Puspakom)," katanya di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan bahawa sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) bagi sesi pembelajaran bersemuka akan dibuka secara berperingkat mulai 1 Mac ini.

Mengulas lanjut, Mohd Rofik yang juga Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Negeri Sembilan (PPBSNS), berkata masa pembukaan sekolah yang berbeza antara murid peringkat rendah dan menengah juga menyebabkan pengusaha bimbang.

"Pengusaha bas sekolah khuatir, sekiranya ada kemungkinan penutupan sekolah akan berulang kerana situasi semasa Covid-19 masih tidak menentu.

"Keyakinan mereka sedikit terjejas selepas terpaksa menanggung kerugian besar sebelum ini dan sudah pasti tidak mahu menanggung kesan kerugian kali kedua," katanya.

Menurut Mohd Rofik, pihaknya sudah meminta ahli gabungan itu yang masih berminat untuk terus menyediakan perkhidmatan berkenaan bagi memudahkan urusan ibu bapa dan murid pergi ke sekolah.

Katanya, seperti lazimnya, perkhidmatan bas sekolah bukan bermotifkan keuntungan semata-mata tetapi lebih kepada khidmat kebajikan dalam usaha membantu meringankan beban ibu bapa dan murid.

"Saya sudah menyarankan kepada rakan-rakan ahli supaya terus sediakan perkhidmatan untuk kepentingan ibu bapa dan murid sebaik sekolah dibuka semula bulan depan.

"Bagi kawasan tertentu, mungkin ibu bapa perlu menyediakan sendiri kenderaan bagi anak mereka ke sekolah kerana ada kemungkinan perkhidmatan itu tidak disediakan oleh pengusaha," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 3:43 PM