Penjaja tanpa lesen melakukan provokasi terhadap anggota penguat kuasa DBKL ketika operasi di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam. FOTO ihsan DBKL
Penjaja tanpa lesen melakukan provokasi terhadap anggota penguat kuasa DBKL ketika operasi di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam. FOTO ihsan DBKL
Nurul Hidayah Bahaudin

AKIBAT tidak berpuas hati barang jualan disita, dua penjaja tanpa lesen mencetuskan kekecohan ketika anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan operasi di Dataran Merdeka, semalam.

Dalam kejadian 11 malam itu, dua penjaja terbabit termasuk seorang wanita membuat provokasi dengan menghalang anggota penguat kuasa DBKL melakukan tugas sitaan terhadap mereka yang menjual air minuman tanpa lesen di kawasan berkenaan.

Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Osman Ismail berkata, dalam operasi itu, pihaknya menyita barang jualan dari tujuh penjaja air tanpa lesen di sekitar kawasan Dataran Merdeka termasuk Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Esfahan dan Lorong Tunku Abdul Rahman.

“Ketika anggota sedang membuat kiraan barang sitaan, lelaki dan wanita berkenaan bertindak menghalang anggota bertugas dengan mengambil balik barang jualan mereka.

“Tindakan agresif mereka menyebabkan anggota penguat kuasa terpaksa menahan mereka sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, anggota bertugas kemudian membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.

Rakaman video kejadian itu yang berdurasi 18 saat turut tular selepas dimuat naik di media sosial, hari ini.

Dalam rakaman itu, penjaja berkenaan dilihat melakukan provokasi dengan mengambil barang jualannya yang disita anggota penguat kuasa ketika mereka sedang melakukan proses sitaan.

Malah, ada beberapa individu dilihat turut menendang dan mencampakkan bekas minuman yang berada berhampiran lokasi terbabit sebagai tanda provokasi terhadap tindakan anggota penguat kuasa yang merampas barang jualan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 10:49 PM