LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini.
LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini.
Farah Suhaidah Othman


SEORANG lagi mangsa meninggal dunia menjadikan keseluruhan tiga beranak maut dalam kemalangan membabitkan kereta Perodua Myvi dan Toyota Hilux di Kilometer 30, Jalan Bota Kanan-Teluk Intan, dekat Kampung Gajah, petang hari ini.

Dalam kejadian 5.20 petang itu, penumpang kereta Perodua Myvi, Rohaida Sidak, 48, dan anaknya, Nor Syarina Mohd Jamil, 19, maut di lokasi kejadian.

Manakala suami Rohaida yang juga pemandu kereta berkenaan, Mohd Jamil Utok, 46, disahkan meninggal dunia di Hospital Teluk Intan (HTI), lima jam kemudian.

Pemandu kenderaan Toyota Hilux berusia 29 tahun dan sepupunya berusia 20 tahun yang turut menaiki kenderaan itu masing-masing cedera di kepala.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal berkata, siasatan awal mendapati kereta dinaiki tiga beranak itu dalam perjalanan dari Teluk Intan menghala ke Kampung Gajah manakala Toyota Hilux dari arah bertentangan.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, Toyota Hilux terbabas ke kanan jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kereta dinaiki tiga beranak berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, dua penumpang kereta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan bedah siasat dijalankan pada 8 malam tadi.

“€œPemandu Perodua Myvi dihantar ke HTI untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada 10.16 malam tadi,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Mohamad Zainal berkata, pemandu dan penumpang Toyota Hilux yang cedera dihantar ke Hospital Changkat Melintang sebelum dipindahkan ke hospital swasta di Ipoh untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati keadaan jalan lurus dan permukaan jalan basah berikutan keadaan hujan.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Berita berkaitan

'Dua maut, tiga cedera'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 11:26 PM